SAMIR Nasri mendedahkan peraturan ketat Pengurus Manchester City, Pep Guardiola yang melarang pemain melakukan hubungan seks selepas tengah malam sebelum dia berhijrah ke Sevilla secara pinjaman. Pemain tengah Perancis itu mendakwa Guardiola mengenakan peraturan ketat tersebut kerana yakin ia satu cara pemain boleh memperbaiki corak permainan mereka ketika berada di atas mahupun luar padang. Malah, peraturan Guardiola itu turut dikatakan berkesan terhadap Lionel Messi. "Bagi Pep (Guardiola) aktiviti seks pemain perlu berlaku sebelum tengah malam untuk memastikan pemain mempunyai tidur yang secukupnya, walaupun mereka tiada aktiviti keesokan harinya. "Dia (Pep) turut mengenakan peraturan ketat ini terhadap Messi dan keadaan ototnya bertambah baik sejak itu," katanya. Nasri kini dipinjamkan ke Sevila selepas dia memilih untuk enggan bekerjasama Guardiola yang mengambil alih tugas Manuel Pellegrini pada musim panas. Guardiola memberitahu Nasri bahawa dia mempunyai berat badan berlebihan. "Sejujurnya saya jatuh cinta dengan Jorge Sampaoli (Pengurus Sevilla). Dia mempunyai personaliti campuran antara Bielsa dan Guardiola yang bersama saya semasa pra musim dan membuat saya sedar tentang sesuatu perkara. "Guardiola beritahu saya agak teruk. Apabila saya pulang dari bercuti dan bergelut dengan masalah kecederaan dan isu peribadi, berat badan saya naik sebanyak empat kilogram. Bagi Guardiola, berat badan lebih 2.5 kg, anda tidak boleh berlatih bersama pasukan," katanya.