PORT DICKSON: Latihan skuad negara akan berpindah ke Akademi Badminton Kebangsaan (ABK) mulai bulan depan selepas gelanggang di akademi di Bukit Kiara, Kuala Lumpur itu disiapkan. Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamed AlAmin Abdul Majid berkata pemindahan lokasi latihan itu dibuat kerana mengikut perancangan Stadium Juara, juga di Bukit Kiara yang digunakan sekarang akan diambil alih Persatuan Bola Jaring Malaysia. "Akademi Badminton Kebangsaan sepatutnya siap akhir tahun ini tetapi secara keseluruhannya kita masih memerlukan masa lagi sebelum ia diserahkan kerana masalah teknikal. "Walaupun ada lagi beberapa perkara di akademi itu belum siap sepenuhnya, 18 gelanggang di situ sudah disiapkan. "Oleh itu, kita akan memulakan latihan di akademi tersebut bulan depan,"katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis BAM di sini, Sabtu. Katanya ABK memerlukan sedikit masa lagi untuk diserahkan kepada BAM kerana masalah teknikal dan juga ia perlu mendapat sijil perakuan siap. "Sekarang ini kita minta ia diserahkan secara berperingkat. Akademi ini yang menelan kos RM30 juta akan siap sepenuhnya selewat-lewatnya Jun tahun depan. "Antara kemudahan yang terdapat di akademi ini ialah 18 gelanggang, 85 bilik penginapan, pejabat, dewan makan, auditorium, gimnasium dan sebagainya. ABK bertaraf antarabangsa ini adalah antara yang terbaik di dunia," katanya. Sementara itu, Mohamed Al Amin berkata kejohanan Siri Super Terbuka Malaysia 2017 akan diadakan di Kuching, Sarawak pada April 2017. Sebelum ini, selain Kuching, empat tempat lain yang dicadangkan untuk kejohanan itu ialah Stadium Negara, Kuala Lumpur; Kedah; Johor Bahru dan Kuantan, Pahang. -Bernama