KUALA LUMPUR: Mesyuarat Pengurus Pasukan Sukan SEA 2017 yang pertama akan diadakan pada 5 Disember ini, untuk membincangkan persediaan persatuan-persatuan sukan yang terlibat. Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo berkata, pengurus daripada 38 jenis sukan yang terlibat dengan sukan dwitahunan itu akan diberikan penjelasan mengenai persediaan dan tanggungjawab mereka pada mesyuarat berkenaan. Beliau berkata antara perkara yang akan dibincangkan ialah berkaitan pengurusan atlet, cara menghantar laporan prestasi, persediaan venue dan penginapan atlet Malaysia pada temasya itu yang akan berlangsung pada 19 hingga 31 Ogos tahun depan. "Buat masa ini semua persatuan sukan telah melantik pengurus pasukan masing-masing dan kami mahu mereka faham akan tugas-tugas mereka dan apa yang perlu dilakukan dalam perjalanan ke Sukan SEA. Oleh kerana persatuan sangat sibuk dengan perkara lain, pengurus akan mengambil tanggungjawab penuh. "Ia juga bagi mengingatkan mereka mengenai tugas dan tanggungjawab sebagai pengurus pasukan kerana ada antara mereka yang mungkin masih baharu sementara yang berpengalaman perlu diperingatkan semula tanggungjawab mereka kerana mungkin ada yang terlupa," katanya kepada Bernama. Katanya, pihaknya juga dalam proses memuktamadkan venue dan kalendar kejohanan, yang mana badminton, olahraga, renang, terjun dan hoki akan diadakan di Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil, mengikut perancangan awal. Manakala bagi skuasy, pusingan awal akan diadakan di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil, namun pusingan akhir akan dijalankan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Mengulas mengenai penginapan, Beng Choo berkata atlet akan ditempatkan dihotel bertaraf empat atau lima bintang yang mempunyai kemudahan seperti bilik mesyuarat, sekretariat dan ruangan untuk atlet bertemu dan makan. "Atlet Malaysia akan tinggal di sebuah hotel yang sama...kami telah mengenal pasti beberapa hotel dan sekarang sedang membincangkan mengenai harga, bilik dan kemudahan," katanya. Sebanyak 405 acara akan dipertandingkan pada edisi keenam Sukan SEA yang dianjurkan Malaysia, melibatkan lebih 7,000 atlet dari 11 negara Asean. -Bernama