PETALING JAYA: Terkejut, teruja dan gembira, jelas Mohd Faiz Subri selepas namanya terpilih sebagai finalis Anugerah Puskas Fifa 2016 yang diumumkan Jumaat malam. Keputusan tiga jaringan terbaik itu diumumkan di laman web rasmi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), www.fifa.com pada Jumaat malam. "Tak sangka nama termasuk dalam 'Top 3' anugerah ini. Saya mendapat tahu mengenainya selepas menerima 'teks' daripada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia), dan ada juga tengok berita. "Perasaan sekarang ini...saya amat terkejut, teruja dan sangat gembira kerana saya tidak meletak sebarang harapan memandangkan sembilan lagi pencalonan lain adalah pemain-pemain terkenal dunia," ujar Mohd Faiz ketika dihubungi mStar Online, Jumaat malam. Jelas Mohd Faiz, sebaik sahaja namanya diumumkan sebagai finalis, ramai yang menghubunginya untuk mengucapkan tahniah. "Terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang mengundi dan menyokong saya selama ini. Pencalonan ini bukan untuk pasukan saya sahaja, tetapi kepada Malaysia," tambahnya. Selain Mohd Faiz, turut terpilih ke pusingan kedua ini ialah Marlone dari Brazil dan pemain wanita pasukan Bawah 17 Tahun Venezuela, Deyna Castellanos. Pemenang akan diumumkan pada majlis Anugerah Terbaik Fifa pada 9 Januari 2017. Sebagai rekod, Mohd Faiz membuat melakukan sepakan percuma ajaib ketika aksi Liga Malaysia ketika pasukannya, Pulau Pinang bertemu Pahang dalam jarak 32 meter. Sepakan luar biasa itu menjadi fenomena bukan sahaja di dalam negara, malah menjadi perhatian seluruh dunia. Malah ia turut dianggap sebagai sepakan lencong lebih hebat berbanding pemain legenda Brazil, Roberto Carlos ketika menentang Perancis pada 1997. Berikutan itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menghantar surat kepada Fifa supaya gol unik pemain berusia 29 tahun ini disenaraikan sebagai salah satu calon dalam Anugerah Puskas.