KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia diminta terus menyokong Mohd Faiz Subri dengan mengundi gol 'melanggar hukum fizik' daripada penyerang Pulau Pinang itu bagi membolehkannya memenangi Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) 2016. Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata Malaysia berharap untuk mendengar berita baik selepas Mohd Faiz tersenarai dalam tiga jaringan terbaik dunia untuk seterusnya dipilih menerima anugerah tersebut. "Saya harap kita dapat berita baik nanti," katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Jumaat. Fifa menerusi laman web rasminya, www.fifa.com menyenarai pendek 10 gol menarik dari 30 September 2015 sehingga 30 September tahun ini untuk Anugerah Puskas yang menyaksikan jaringan Mohd Faiz turut tersenarai. Mohd Faiz melakukan jaringan itu menerusi sepakan percuma dari jarak 32 meter ketika Pulau Pinang bertemu Pahang dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 16 Feb lalu. Ditanya tentang ganjaran yang akan diberikan sekiranya Mohd Faiz memenangi anugerah itu, Khairy berkata: 'Tunggu lah,". Selain Mohd Faiz, dua lagi pemain disenarai pendek untuk tiga gol terbaik bagi anugerah itu ialah Johnath Marlone, pemain kelab Corinthians dari Brazil, dan pemain wanita Daniuska Rodriguez dari Venezuela. Tiga jaringan terbaik yang mendapat undian tertinggi akan melalui proses undian kedua dan pemenang akan diumumkan pada Anugerah Bola Sepak Fifa diZurich, Switzerland pada 9 Januari depan. -Bernama