suria

Pemain Piala Presiden Kelantan Sertai The Red Warriors - Zahasmi

Zahasmi Ismail

KOTA BARU: Skuad bola sepak Kelantan membuka pintunya kepada beberapa pemain muda daripada pasukan Piala Presiden negeri itu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain yang berhijrah ke pasukan lain.

Antara pemain yang dipertimbangkan adalah Mohd Syafiq Abd Rahman, Mohd Nasharizam Abd Rashid dan Mohd Azwan Aripin.

Ketua jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail berkata skuad Piala Presiden itu telah membuktikan kemampuan mereka dengan menjuarai Piala Presiden tahun ini.

"Ini membuktikan pemain skuad itu mempunyai kebolehan dan kemampuan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain terdahulu," katanya ketika ditemui pemberita di sini, Selasa. 

Zahasmi mengulas tindakan beberapa pemain The Red Warriors yang meninggalkan pasukan itu untuk menyertai pasukan lain pada tahun depan selepas tamat kontrak atau tidak disambung kontrak oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).

Antara pemain tersebut adalah Wan Zack Haikal Wan Noor, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Muslim Ahmad dan Mohd Faizal Abu Bakar.

"Kita akan gandingkan pemain muda dengan pemain senior. Gabungan antara pemain lama dan muda ini penting kerana pemain senior ada banyak pengalaman ketika beraksi dan boleh menjadi mentor kepada pemain pelapis," katanya.

Pada masa sama, Zahasmi berkata KAFA turut meneliti beberapa pemain tempatan dan import untuk beraksi bersama The Red Warriors pada musim depan.-- Bernama

 

Piala Presiden, Red Warriors, Zahasmi

Artikel Lain