suria

Chong Wei, Goh/Tan Dalam Senarai Akhir Anugerah Pemain Terbaik 2016

Lee Chong Wei.

KUALA LUMPUR: Pemain badminton utama negara, Datuk Lee Chong Wei dan pasangan Goh V Shem-Tan Wee Kiong, masing-masing berada dalam senarai finalis Pemain Terbaik Lelaki 2016.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam kenyataan pada Selasa berkata, turut berada dalam senarai itu adalah juara Olimpik, Chen Long dari China, Jan O Jorgensen (Denmark) dan beregu China, Fu Haifeng-Zhang Nan (China).

Pengumuman pemenang akan dibuat pada 12 Dis ini sempena Pusingan Akhir Siri Super Dunia di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Chong Wei memenangi pingat perak Sukan Olimpik ketiga berturut-turut untuknya tahun ini selain memenangi Siri Super Premier di Malaysia dan Indonesia serta Siri Super Jepun selain Kejuaraan Asia. 

Chen Long pula menjuarai Sukan Olimpik 2016 dan muncul naib juara Siri Super Premier di Malaysia dan China manakala beregu V Shem-Wee Kiong meraih pingat perak Sukan Olimpik serta menjuarai Siri Super Premier Denmark.

Pencalonan bagi Anugerah Pemain Terbaik Wanita pula terdiri daripada Nozomi Okuhara (Jepun), Ratchanok Intanon (Thailand); pasangan Christinna Pedersen-Kamilla Rytter Juhl (Denmark) dan juara Olimpik Masaki Matsumoto-Ayaka Takahashi (Jepun).

Sementara itu, Anugerah Eddy Choong bagi Pemain Paling Berbakat menjadi saingan antara Malaysia dan China dengan juara remaja dunia 2015, Goh Jin Wei disaingi tiga wakil China yang terdiri daripada He Bingjiao, Chen Qingchen dan beregu lelaki, Li Junhui-Liu Yuchen.

Jin Wei menunjukkan potensi tingginya dengan muncul naib juara di Kejohanan Masters Indonesia serta menjuarai Cabaran Antarabangsa Orleans, selain menjadi tonggak yang membolehkan Malaysia menjadi naib juara Piala Suhandinata.

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Juara-Juara

Artikel Lain