PETALING JAYA: Jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang berkata beliau masih belum menerima hitam putih daripada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang mengesahkan beliau akan beraksi pada temasya Sukan SEA tahun depan. “Saya pun tak pasti sebab tak ada black and white lagi. Setahu saya senarai pelumba yang akan beraksi belum dimuktamadkan lagi. “Tapi sebelum ini dengar-dengar khabar angin kata saya kena bagi peluang kepada pelumba muda. Ada kata mereka (PKBM) tak bagi saya berlumba dan saya hanya sertai satu acara sahaja,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis. Bagaimanapun, pelumba kelahiran Kemaman, Terengganu itu masih menaruh harapan agar diberikan peluang untuk menyertai temasya dwi tahunan tersebut memandangkan Malaysia terpilih sebagai tuan rumah. “Saya berharap agar dapat berlumba pada Sukan SEA, tak kisahlah macam mana. Lagipun kali terakhir saya beraksi di Korat, Thailand pada 2007. Lepas tu saya dah tak kayuh dah semasa Sukan SEA di Vientiane, Laos (2009) dan Jakarta (2011). "Edisi kali ini memang istimewa kerana saya mahu berkayuh di hadapan para penyokong dan ahli keluarga saya. Lagipun saya percaya tak ramai rakyat Malaysia dapat tengok saya beraksi secara live. Pada masa sama, ada velodrom baharu juga, saya nak berlumba di sana,” katanya. Azizul berkata walaupun bergelar atlet bertaraf dunia, beliau merasakan dirinya perlu diberi peluang untuk berkayuh bersama pelumba muda sebagaimana dilakukan Josiah Ang pada Sukan SEA, Korat 2007. “Seingat saya, masa saya baru nak naik dan pada waktu itu saya masih belum lagi nombor satu, ada Josiah Ang dan Rizal Tisin. Jadi saya yang baru nak naik waktu itu terpaksa berentap dengan mereka di Sukan SEA Korat. “Waktu tu saya masuk acara pecut individu dan keirin tapi saya kalah kepada Josiah Ang dan Rizal Tisin (acara trek 1 kilometer). Saya dapat perak dan emas dalam acara berpasukan kejar-mengejar. Saya harap agar perkara sama dilakukan terhadap pelumba pelapis supaya mereka tak diberi jalan mudah untuk mencapai sesuatu kejayaan,” katanya. Pada Rabu, Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab dalam satu kenyataan memberi bayangan bahawa Azizul atau lebih dikenali sebagai "The Pocket Rocketman” akan mewakili negara menerusi acara trek di temasya tersebut. Malah, PKBM meletakkan sandaran kepada Azizul yang kini kembali bergelar pelumba nombor satu dunia dalam acara keirin untuk menyumbang emas menerusi acara keirin dan pecut individu. PKBM mensasarkan 11 pingat emas menerusi acara trek dalam Sukan Sea 2017 yang dijadual berlangsung pada 28-30 Ogos tahun depan. Sementara itu, Azizul turut meluahkan rasa gembira kerana berjaya menutup tirai 2016 dengan bergelar pelumba nombor satu dunia dalam acara keirin selepas Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) mengeluarkan senarai terbaharu kedudukan pelumba, Isnin lalu. “Saya amat gembira tengok ranking naik nombor satu sebab bukan senang nak dapat ranking tersebut. Ia permulaan yang baik untuk musim baharu yang akan datang. “Saya tak terkejut kerana berdasarkan kutipan mata selepas Sukan Olimpik, saya memang boleh naik. Tapi saya tak terfikir langsung soal itu, sebab kepala saya pada waktu itu (Olimpik) hanya fokus kepada persembahan dan pingat gangsa yang saya menangi,” katanya. Azizul berkata beliau sudah kembali memulakan latihannya di Melbourne dan pada masa sama akan menyambung semula pengajiannya di University Deakin (Melbourne, Australia) yang masih berbaki setahun sahaja lagi. “Latihan berjalan seperti biasa lagipun saya sudah mulakan latihan asas seperti latihan kecergasan diri di gymnasium dan kayuhan jarak jauh semasa di Malaysia.. “Sekarang cuma perlu tingkatkan momentum dan stamina. Saya juga tetap akan fokus pada pelajaran sebab saya mahu habiskan pengajian dengan cepat. Jika ada perlumbaan saya akan berlumba, kena pandai seimbangkan semuanya,” kata Azizul.