NEW DELHI: Skuad bola sepak cacat penglihatan Malaysia membuktikan tiada yang mustahil jika berusaha gigih apabila mengungguli Kejohanan Bolasepak Buta Antarabangsa di sini, baru-baru ini. Kejohanan tiga penjuru ini anjuran Persekutuan Bola Sepak Cacat Penglihatan India (IBFF) dengan kerjasama Jawatankuasa Paralimpik di India. Selain Malaysia, ia melibatkan dua lagi pasukan dari Asia iaitu India dan Laos. Malaysia bermula dengan persaingan yang memihak kepada Laos apabila tewas 1-0 dan seterusnya bangkit menewaskan India dengan jaringan 3-1 sebelum pasukan Malaysia menebus kekalahan dengan menundukkan Laos 1-0 dan sekali gus melangkah ke final. Perlawanan final sekali lagi menyaksikan Malaysia berdepan Laos dan berakhir dengan kemenangan 2-1 memihak kepada Malaysia. Pemain Malaysia, Ahmad Fikri Omar diumumkan sebagai penjaring gol terbanyak dengan tiga gol. Ketua Jurulatih skuad bola sepak cacat penglihatan, Sunny Shalesh berkata, pasukannya berlatih tiga bulan sebelum menyertai kejohanan itu. "Walaupun saya tidak mengikuti pasukan ke India kerana cedera, saya percaya pembantu dan pengurus pasukan dapat mengendalikan setiap pemain dengan baik. "Saya selalu berhubung dengan mereka dan pantau perlawanan menerusi rakaman video selain berbincang menenerusi panggilan video dengan pasukan," jelasnya. Tambahnya, tahun depan, mereka akan berlatih lebih gigih dan belajar daripada kesilapan untuk mengekalkan kejuaran selain berusaha untuk merangkul pingat emas di Sukan Para Asean serta melayakkan diri ke Kejohanan Dunia Bola Sepak Cacat Penglihatan (IBSA).