suria

Thiago Silva Lanjutkan Kontrak Bersama PSG

Thiago Silva
PARIS Saint-Germain (PSG) pada Khamis telah melanjutkan kontrak kaptennya, Thiago Silva.

Dengan termeterainya kontrak baharu itu, pemain dari Brazil ini akan terus bersama PSG sehingga 30 Jun 2020.

"Saya sangat gembira dapat memanjangkan kontrak saya dengan Paris Saint-Germain.

"Di sini, saya telah menemui sebuah kelab yang hebat di mana saya mampu berkembang," kata Silva di laman web rasmi PSG.

Silva berhijrah ke Paris pada Julai 2012 dan sejak itu dia menjadi pemain penting di barisan pertahanan kelab itu.


Silva telah empat kali terpilih menjadi bek tengah terbaik iaitu pada 2013, 2014, 2015 dan 2016.

"Saya amat bangga menjadi kapten pasukan ini, yang telah memenangi segala-galanya di Perancis pada dua musim lalu dan juga telah mendapat penghormatan dari seluruh Eropah, atas penampilan dalam Liga Juara-Juara.

"Kami masih mempunyai beberapa impian yang sangat besar untuk dipenuhi. Saya yakin kami akan berjaya melakukannya dan akan terus membuatkan peminat kami gembira," katanya.

Selain gelaran peribadi, pemain kelahiran Rio de Janeiro ini juga sudah meraih 11 gelaran bersama kelab.


Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif PSG, Nasser Al-Khelaifi memberikan pujian kepada pemain ini yang membantu kelab meraih gelaran sejak tiba dari AC Milan pada musim panas tahun 2012.

Dia memuji Silva sebagai kapten luar biasa yang 'mampu 'membaca permainan' dan menjadi 'orang berkuasa di atas padang' sebagai dua daripada sifatnya.

"Saya sangat gembira dengan lanjutan kontrak Thiago Silva," katanya.

"Kehadirannya akan terus membantu kelab untuk menjadi bertambah baik. Sejak ketibaannya, Thiago telah mencipta sejarah besar buat Paris Saint-Germain," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain