suria

Wira Paralimpik Ceriakan 2016

TINGGAL beberapa hari sahaja lagi, tahun 2016 akan melabuhkan tirainya dengan meninggalkan 1,001 kenangan suka duka kepada dunia sukan tanah air.

Tahun 2016 dianggap sebagai pencapaian terbaik dan luar biasa atlet negara dalam beberapa temasya berprestij dunia.

Antara kejayaan yang pasti dikenang adalah prestasi membanggakan atlet Olimpik dan Paralimpik di Temasya Rio pada Ogos dan September lalu.

Kejayaan kontinjen Olimpik negara membawa pulang empat pingat perak dan satu gangsa merupakan pencapaian terbaik pernah dilakar sepanjang penganjuran temasya empat tahun sekali itu.

Manakala kejayaan skuad Paralimpik berjaya merangkul tiga pingat emas dan satu gangsa merupakan pencapaian luar biasa mereka dalam kejohanan untuk golongan istimewa itu.

Menerusi dua temasya terbesar ini, seluruh rakyat Malaysia berkongsi kegembiraan atas prestasi membanggakan itu.

Rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama berkumpul di hadapan televisyen untuk menyatakan sokongan mereka terhadap atlet negara yang berjuang di Rio de Janeiro, Brazil.


Olimpik Rio

Meskipun Datuk Lee Chong Wei gagal membawa pulang emas yang ditunggu-tunggu selama ini, beliau tetap hero di hati seluruh rakyat Malaysia selepas dilihat berhempas pulas menentang Chen Long dari China pada aksi final perseorangan lelaki.

Untuk rekod, skuad badminton negara menyumbangkan tiga pingat perak kepada Malaysia melalui acara yang diwakili Chong Wei, selain acara beregu lelaki dan beregu campuran.

Satu lagi pingat gangsa diperolehi menerusi gandingan penerjun negara, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong dalam acara 10 meter platform seirama.


Kejayaan pasangan itu ternyata menyuntik semangat atlet lain menyumbang empat lagi pingat untuk negara.

Pakar keirin negara, Azizulhasni Awang pula melakar sejarah menjadi pelumba basikal pertama negara memenangi pingat dalam Sukan Olimpik apabila meraih pingat gangsa di Velodrom Olimpik Rio.

Kejayaan itu amat bermakna buat pelumba berusia 28 tahun yang digelar The Rocketpocketman itu selepas gagal dalam dua percubaan di Beijing 2008 dan London 2012.


Paralimpik Rio

Lebih manis apabila sejarah mula tercipta pada 10 September lalu apabila pingat emas pertama skuad Paralimpik negara dimenangi atlet pecut Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100m T36 lelaki.

Ia disusuli kilauan emas kedua daripada Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru F20 lelaki dan emas ketiga melalui Abdul Latif Romly dalam acara lompat jauh T20 lelaki.

Malaysia turut meraih gangsa melalui Siti Noor Radiah Ismail dalam acara lompat jauh T20 wanita.


Air mata kegembiraan dikongsi apabila lagu 'Negaraku' dimainkan dan Jalur Gemilang berkibar megah di Brazil.

Malah, buat pertama kalinya, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengumumkan pemberian ganjaran dan elaun bulanan kepada atlet paralimpik sama seperti yang dinikmati atlet normal.

Pada masa sama, kerajaan turut memberi bayaran Skim Imbuhan Tetap Bulanan kepada lima pemenang pingat Sukan Paralimpik yang berlangsung sebelum ini berdasarkan pencapaian pingat masing-masing yang sudah dilunaskan pada akhir Oktober lalu.


Lima penerima imbuhan itu termasuk bekas atlet Mariappan Perumal, yang menang pingat gangsa di Seoul 1988 (angkat berat 57kg) dan Bercelona 1992 (60kg); Cheok Kon Fatt (1992, perak, angkat berat 52kg); Mohamad Khasseri Othman (1992, gangsa, lompat tinggi B2); Siow Lee Chan (Beijing 2008, gangsa, angkat berat 56kg) dan atlet memanah kategori W1/W2, Hasihin Sanawi yang meraih pingat perak di London pada  2012.

Pemberian elaun itu diberikan bagi menghargai jasa dan pengorbanan atlet luar biasa tersebut selain diharapkan dapat membantu mereka meneruskan kehidupan masing-masing meskipun sudah tidak mewakili negara.

Sukma Sarawak

Selain temasya berprestij dunia itu, negara turut dikejutkan dengan pencapaian cemerlang pelari muda dari Melaka, Khairul Hafiz Jantan pada Sukan Malaysia (Sukma), Jun lalu apabila meleburkan rekod 100 meter kebangsaan sejak 18 tahun lalu.

Raja Pecut baharu negara itu melintasi garisan penamat dalam saingan akhir acara berkenaan di Stadium Sarawak dengan catatan 10.18 saat, sekali gus memadamkan rekod lama 10.30s yang dicipta Watson Nyambek pada Sukan Pra-Komanwel 1998.


Kejayaan memecahkan rekod kebangsaan itu melengkapkan musim cemerlang untuk Khairul Hafiz yang sudah memenangi beberapa gelaran, tahun ini.

Antaranya pingat emas acara 100m pada Kejohanan Remaja Asia di Vietnam bulan lepas dengan catatan 10.36 saat, selain mara ke separuh akhir Kejohanan Remaja Dunia di Poland.

MOTOR GP

Selain itu, dunia pemotoran negara turut dikejutkan dengan prestasi cemerlang  Khairul Idham Pawi apabila mencipta sejarah muncul pelumba Malaysia memenangi Kejohanan MotoGP dunia dalam kategori Moto3 pada Grand Prix Motosikal Argentina, April lalu.

Pelumba berusia 17 tahun dari pasukan Honda Team Asia itu mencatat masa 41 minit 35.452 saat dalam 21 pusingan di Litar Termas de Rio Hondo.


Beliau sekali lagi mencipta sejarah apabila meraih kemenangan podium pada perlumbaan motosikal Grand Prix (GP) Jerman di Litar Sachsenring, Julai lalu.

Dua kejayaan itu anak kelahiran Kampung Gajah, Perak itu membuktikan beliau sebagai 'Raja Litar Basah' apabila terus memimpin perlumbaan sehingga tamat dengan catatan masa 47 minit 07.763 saat.

Formula Satu

Namun di sebalik kegembiraan itu, terdapat juga pengumuman yang pastinya mengecewakan peminat sukan Formula Satu (F1) di negara ini.

Pada 21 November lalu, kerajaan memutuskan untuk tidak akan menganjurkan perlumbaan Formula Satu (F1) pada 2019 iaitu selepas kontrak penganjurannya tamat pada 2018.

Menteri Kebudayaan dan Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, keputusan itu diambil berikutan kerajaan perlu membelanjakan sehingga RM300 juta bagi menganjurkannya sedangkan pulangan yang diterima tidak setimpal.

Katanya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini jumlah kehadiran peminat F1 semakin merosot dan perkara tersebut bukan sahaja dialami di Malaysia tetapi juga seluruh dunia.


Jelasnya, kerajaan baru sahaja memperbaharui kontrak penganjuran F1 untuk tempoh dua tahun dari 2016 hingga 2018 dengan kos berjumlah RM1 bilion dan selepas itu tiada lagi penganjuran sukan bermotor berkenaan di negara ini.

Mohamed Nazri menambah, apa yang lebih menyedihkan tiada pelumba negara menyertai F1 dan beliau berpendapat keputusan untuk menghentikannya adalah tepat.

Kata beliau, senario serupa tidak berlaku dalam perlumbaan MotoGP yang mana kehadiran penonton semakin meningkat saban tahun.

Malaysia menempa sejarah sebagai negara Asia Tenggara pertama menganjurkan perlumbaan kereta paling berprestij dan berteknologi tinggi itu pada 1999, yang menyaksikan pemandu Ferrari, Eddie Irvine dari Britain muncul juara sulung.

Ratu Skuasy Negara Kehilangan Mahkota

Pada masa sama, tahun 2016 turut disifatkan sebagai prestasi hambar bagi ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David apabila gagal mempertahankan kejayaannya di pentas antarabangsa.

Kemerosotan prestasi dan pencapaian kurang memberangsangkan Nicol dalam kejohanan antarabangsa kebelakangan ini turut meresahkan Khairy sehingga beliau menggesa satu pendekatan terbaik dilakukan bagi membantu mengembalikan semula reputasi atlet berkenaan.

Susulan prestasi hambar itu, bekas pemain skuasy No.1 lelaki negara, Ong Beng Hee mencadangkan agar Nicol dibawa pulang ke Malaysia pada tahun depan bagi menggembalikan kemuncak kegemilangannya.


Beliau berkata sudah tiba masa untuk Nicol yang digelar sebagai Duracell Bunny untuk berubah angin, menjalani latihan di Kuala Lumpur dengan lebih kerap berbanding di Amsterdam.

Katanya, mungkin dengan mengikuti program di Malaysia, Nicol dapat menyesuaikan diri untuk kembali memulihkan prestasi terbaiknya.

Nicol yang pernah menjadi pemain ranking pertama dunia selama 109 bulan, ketika ini menghuni tangga keenam dunia.

Paralimpik, Olimpik

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain