KUALA LUMPUR: Jumlah sebenar anggota kontinjen negara pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 akan dimuktamadkan selewat-lewatnya Julai ini, sebulan sebelum bermulanya acara sukan dwitahunan itu. Pemangku Pengarah Bahagian Persediaan Atlet Majlis Sukan Negara, Jefri Ngadirin berkata atlet yang tidak berada dalam program Kita Juara 2017 masih berpeluang merebut tempat dalam kontinjen negara sekiranya mempamerkan aksi cemerlang pada kejohanan tempatan atau antarabangsa. Program Kita Juara merupakan program persediaan khas atlet Malaysia bagi menghadapi Sukan SEA ke-29 itu. "Kita akan mengadakan mesyuarat pertama Jawatankuasa Pemilihan Atlet pada Mac ini sebelum senarai akhir diumumkan pada Julai dengan anggaran lebih 900 anggota akan dipilih ke Sukan SEA. Kita sudah beritahu persatuan sukan kebangsaan bahawa mereka boleh mencalonkan mana-mana atlet di bawah naungan mereka yang didapati lebih cemerlang berbanding atlet dalam program Kita Juara," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat kedua Pengurus Pasukan untuk Sukan SEA ke-29 di Wisma OCM, Sabtu. Pada sidang media itu, Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2017 Datuk Marina Chin memaklumkan mesyuarat berkenaan berjalan lancar dengan pengurus pasukan yang hadir dimaklumkan mengenai tarikh, jadual dan venue pertandingan temasya sukan tersebut. Beliau menegaskan tiada sasaran awal diletakkan kepada atlet negara bagi memastikan mereka dapat memberi fokus sepenuhnya kepada sesi latihan. "Saya yakin dengan persiapan yang sedang dilakukan sehingga Ogos ini, kita dapat membentuk satu pasukan yang mantap bagi Sukan SEA 2017," katanya. Sementara itu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar yang turut hadir pada sidang media berkenaan mengumumkan Presiden Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM), Huang Ying How dilantik sebagai Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia. Sukan SEA 2017 dijadual berlangsung dari 19 hingga 31 Ogos ini melibatkan 38 jenis acara. -Bernama