KUALA LUMPUR: Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) kecewa masih ada pasukan yang gagal menyempurnakan proses pendaftaran pemain bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2017. Menurut FMLLP, antara masalah yang dikenal pasti adalah dokumen kontrak yang tidak lengkap, laporan perubatan yang tidak sah, tiada pengesahan Jabatan Integriti FAM bagi dokumen berkaitan dan tidak menyertakan polisi perlindungan insurans. Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam memandang serius perkara itu dan berharap semua pasukan dapat melengkapkan pendaftaran dengan segera bagi mengelakkan sebarang masalah dalam liga kelak. "Bagi pasukan yang gagal melengkapkan pendaftaran, pemain berkenaan tidak layak untuk bermain dalam pertandingan Liga Malaysia sehingga pendaftaran diluluskan. "Tempoh bertenang untuk pendaftaran pemain adalah 48 jam, jadi pasukan hendaklah mendaftar pemain seawal mungkin bagi mengelakkan mereka tidak dapat bermain, kata Kevin dalam satu kenyataan. Bagaimanapun, FMLLP tidak menyebut nama pasukan terbabit. Bagi musim ini, semua pasukan diminta mendaftar minimum 20 pemain pada atau sebelum 6 Jan bagi memudahkan FMLLP memproses, menyemak dan meluluskan pendaftaran pegawai dan pemain sebelum bermulanya perlawanan pertama liga. Menurut Unit Pertandingan FMLLP, makluman kepada pasukan telah dibuat melalui surat rasmi, semasa taklimat Liga-M pada Dis lepas, selain berhubung terus dengan pegawai tadbir setiap pasukan. Sementara itu, Kevin memaklumkan pasukan PKNS FC dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih belum mengesahkan gelanggang mereka untuk perlawanan awal memandangkan Stadium Shah Alam dan Stadium Hang Jebat masih dalam proses penyelenggaraan. - BERNAMA