suria

Soon Huat-Shevon Tempah Tiket Final Masters Malaysia

SIBU: Pasangan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie mencipta kejutan apabila melangkah ke final acara beregu campuran Kejohanan Badminton Masters Malaysia di Stadium Tertutup Sibu, di sini Sabtu.

Soon Huat-Shevon mara selepas menewaskan pilihan keenam, Tontowi Ahmad-Gloria Emanuelle Widjaja dalam pertarungan sengit yang berkesudahan 21-17, 21-18.

Kemenangan itu sememangnya di luar jangkaan malah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sendiri telah menempah tiket penerbangan mereka ke India pada Ahad bagi menyertai Kejohanan Antarabangsa Syed Modi yang bermula Rabu ini.

Kini rancangan awal itu terpaksa diubah berikutan final Masters Malaysia hanya diadakan pada Ahad.

Bagi Soon Huat, beliau berpuas hati dengan kemenangan itu khususnya persembahan yang ditunjukkan oleh Shevon ketika berdepan Tontowi yang berpengalaman walaupun baru kali pertama digandingkan bersama Gloria di pentas antarabangsa.

Shevon turut mengakui mereka tidak menyangka dapat mengalahkan lawan itu yang dianggap gandingan yang kuat terutama Tontowi yang merupakan pakar beregu campuran yang merangkul pingat emas Sukan Olimpik bersama Lilyana Natsir tahun lepas.

"Mereka bermain lebih terbuka, sesuai dengan corak permainan kami," kata Shevon yang bersama Soon Huat tidak diletakkan sebagai pilihan di kejohanan itu.

Gandingan Soon Huat-Shevon akan menentang pemenang perlawanan antara pasangan negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Tam Chun Hei-Ng Tsy Yau dari Hong Kong yang beraksi dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Sambil mengharapkan Kian Meng-Pei Jing yang merupakan pilihan kedua dapat mara bagi menjadikan final antara dua pasangan negara, Soon Huat mengakui peluang mereka adalah sukar namun akan cuba yang terbaik.

Bagi Shevon, kedua-dua pasangan negara sudah masak dengan corak permainan masing-masing dan tahap ketahanan mental dan fizikal akan menjadi ukuran.

Sementara itu, gandingan beregu wanita negara, Lim Yin Loo-Yap Cheng Wen gagal menempah tiket ke final setelah tumpas kepada beregu Hong Kong, Poon Lok Yan-Tse Ying Suet 20-22, 22-20, 15-21 di separuh akhir.

Biarpun diletakkan sebagai pilihan keempat, pasangan negara jelas keletihan selepas dipaksa lawan mereka bermain rali panjang.

"Kami cuba beberapa taktik baru tapi pada akhirnya tidak cukup kuat untuk menang," kata Yin Loo yang mengakui perlu lebih yakin dengan permainan mereka sendiri selain memperbaiki kualiti pukulan jika mahu berjaya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain