KUALA LUMPUR: Pemain badminton nombor satu negara, Lee Chong Wei tidak akan menyertai kejohanan All-England di Birmingham bermula 7 hingga 12 Mac depan selepas mengalami kecederaan ketika menjalani latihan. Pada Isnin, jurulatih negara, Hendrawan mengesahkan bahawa pemain nombor satu dunia itu mengalami kecederaan ligamen koyak di bahagian lutut kiri. Pemain berusia 34 tahun itu tergelincir dan terjatuh ketika berlatih di gelanggang Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara pada Sabtu. Gelanggang tersebut menggunakan pelapik lantai baharu ketika sesi latihan itu diadakan sejak Selasa lalu. Hendarawan berkata, berita kecederaan itu ternyata permulaan yang mengecewakan buat pemenang tiga kali pingat perak Olimpik tersebut. "Chong Wei sangat bersemangat untuk menyertai latihan selepas Tahun Baharu China tetapi kini dia mengalami kecederaan. "Kecederaan itu mengambil masa tiga hingga enam minggu untuk sembuh. "Dia juga tidak dapat menyertai kejohanan All-England. "Pada usia sebegitu, satu daripada cabaran terbesar adalah kecederaan. Kita berharap dia akan sembuh dengan cepat," katanya.