KUALA LUMPUR: Pemain pelapis badminton negara harus diberi banyak pendedahan dalam kejohanan antarabangsa bagi mempersiapkan mereka beraksi di peringkat lebih tinggi seperti Piala Thomas dan Sukan Olimpik. Bekas ketua jurulatih negara, Yap Kim Hock berpendapat keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menghantar pemain nombor dua negara dalam kategori masing-masing ke Kejohanan Berpasukan Campuran Asia di Bandar Ho Chi Minh, Vietnam adalah satu keputusan tepat. Pada kejohanan tersebut, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Indonesia dan Sri Lanka. Skuad negara ke kejohanan itu dibarisi oleh Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Lim Chi Wing (perseorangan lelaki); Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani (beregu lelaki); Ho Yen Mei, Lee Ying Ying (perseorangan wanita); Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean, Lim Yin Loo-Yap Cheng Wen (beregu wanita); dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie (beregu campuran). "Saya rasa kita kena bagi peluang kepada barisan pelapis terutama pemain kedua dan ketiga negara untuk beraksi dalam sebarang kejohanan antarabangsa dan letakkan satu sasaran yang tinggi untuk beri mereka motivasi. "Selepas letak sasaran tinggi, menjadi tanggungjawab jurulatih pula untuk beri satu latihan insentif agar mereka dapat capai apa yang diinginkan," katanya kepada Bernama, di sini, Isnin. Kim Hock, bagaimanapun berkata tindakan susulan perlu dilaksanakan ke atas pemain pelapis berkenaan bagi memastikan ada peningkatan prestasi setiap kali beraksi di peringkat antarabangsa. Katanya, jika pemain muda negara tidak diberikan peluang berada sebaris dengan barisan utama negara, mereka sudah pasti tidak dapat mengembangkan bakat untuk pergi lebih jauh. Selain peluang yang diberikan kepada pemain, persatuan juga perlu mengambil inisiatif menyediakan jurulatih antarabangsa terutama mereka yang pernah melahirkan jaguh dunia ataupun pemenang pingat Sukan Olimpik untuk melatih skuad negara. Kim Hock mengakui adalah tidak mudah untuk melahirkan jaguh dunia seperti Datuk Lee Chong Wei dan ikon sepertinya tidak boleh dibentuk dalam jangka masa yang singkat. "Bukan senang nak lahirkan pemain seperti Chong Wei, jadi kita perlukan banyak platform dan usaha. Saya percaya semua pihak memang sedang berusaha dan jika kita menggunakan platform yang tepat, kita boleh capai kejayaan besar ini. "Liga Purple League adalah salah satu contoh platform yang telah melahirkan bakat baharu. Melalui liga ini, bakat baharu seperti Iskandar dan Lim Chi Wing mungkin berpeluang wakili negara ke Olimpik Tokyo 2020 nanti," katanya.