PEMAIN tengah, Thiago Alcantara melonjak semangat Bayern Munich apabila menjaringkan dua gol untuk membantu pasukan itu membelasah Arsenal 5-1 pada aksi pusingan pertama kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara, awal pagi Khamis. Kekalahan itu bakal menyaksikan The Gunners berdepan penyingkiran buat kali ketujuh berturut-turut pada peringkat kalah mati ini. Malah, ia juga memberi bayangan awal bahawa masa depan pengurusnya, Arsene Wenger untuk kekal di Stadium Emirates kini mulai samar. Bayern melebarkan rekod kemenangan di laman sendiri dalam saingan itu kepada 16 perlawanan apabila meledak tiga gol dalam tempoh 10 minit pada babak kedua. Kelab gergasi Jerman itu sebelum ini menyingkirkan Arsenal pada peringkat sama pada 2005, 2013 serta 2014 dan kelihatan selesa untuk mengecewakan The Gunners buat kali keempat selepas kemenangan besar itu. Kekalahan terburuk di Allianz Arena itu juga memberi tekanan kepada Wenger menjelang aksi pusingan kedua di Emirates pada 7 Mac ini apabila hanya membawa bekalan satu gol di Allianz Arena menerusi Alexis Sanchez. "Ia adalah aksi terbaik dan diluar jangkaan. Kami beraksi di laman sendiri, perlu menjaringkan seberapa banyak gol dan segala-galanya berjalan lancar pada babak kedua," kata Alcantara. Pemain tengah tuan rumah, Arjen Robben membuka tirai jaringan apabila merembat masuk bola cantik yang menggegar gawang Arsenal pada minit ke-11. Namun Arsenal bangkit menyamakan kedudukan menerusi Sanchez pada minit ke-30. Bayern bagaimanapun bangkit pada babak kedua dengan meledak tiga gol dalam tempoh 10 minit menerusi tandukan Robert Lewandowski pada minit ke-53 sebelum Thiago menjaringkan dua gol dalam tempoh tujuh minit. Kehadiran penyerang Thomas Mueller yang masuk sebagai pemain gantian kemudian melengkapkan kemenangan bergaya tuan rumah ketika perlawanan berbaki dua minit.