REAL Madrid bangkit selepas ketinggalan di awal permainan dengan menewaskan Napoli 3-1 pada aksi pusingan pertama kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara, awal pagi Khamis. Kemenangan itu sekali gus memberi peluang cerah kepada tuan rumah untuk mara ke peringkat suku akhir kejuaraan tersebut buat kali ketujuh berturut-turut. Tiga pemain tuan rumah, Karim Benzema, Toni Kroos dan Casemiro masing-masing meledak gol selepas Lorenzo Insigne membuka tirai jaringan buat Napoli seawal minit kelapan sebaik sepak mula di Santiago Bernabeu. Benzema merembat masuk gol cantik dari luar kotak penalti yang gagal ditampan penjaga gol Real, Keylor Navas. Real yang merangkul trofi Liga Juara-Juara buat kali ke-11 musim lalu terus melebarkan rekod tanpa kalah di gelanggang sendiri dalam saingan tersebut kepada 12 perlawanan. Aksi timbal balik dijadual pada 8 Mac ini di Stadio San Paolo, Itali. Napoli memulakan permainan dengan cukup sempurna apabila Insigne memecah kebuntuan gol pada minit kelapan. "Walaupun tewas, saya fikir kami beraksi dengan baik pada perlawanan ini. "Kini kami memiliki perlawanan timbal balik di San Paolo dan saya yakin kami akan memberi saingan yang lebih sengit. "Real adalah juara dunia, pasukan yang memiliki 18 pemain yang cukup baik dalam skuad mereka tetapi saya tidak melihat begitu banyak perbezaan dengan keputusan ini," kata Insigne. Pada minit ke-80, Napoli berjaya merobek gawang tuan rumah sekali lagi tetapi gol itu dibatalkan kerana ofsaid. Pemain sensasi Real, Cristiano Ronaldo juga memiliki beberapa peluang untuk menjaringkan gol terutama pada minit ke-28 tetapi rembatannya terkena palang. Ronaldo kini masih kekurangan dua gol untuk merekodkan jaringan ke-100nya pada kejuaraan Eropah.