suria

Bayern Tolak Bidaan 85 Juta Pound United Terhadap Muller

KETUA Pegawai Kewangan Bayern Munich, Jan-Christian Dreesen mendedahkan kelab tersebut menolak tawaran 85 juta pound dari Manchester United terhadap pemain bintangnya, Thomas Muller.

Penyerang berusia 27 tahun itu sering menjadi buruan Red Devils selepas membantu Jerman menjulang trofi Piala Dunia pada 2014.

Dalam satu temubual bersama Sport Bild, Dreesen berkata bidaan itu dikemukakan dari pasukan bimbingan Jose Mourinho.

"Kami menerima faks dari England. Namun kami tidak pernah membincangkan untuk menjual Thomas Muller.

"Jika pemain sudah sesuai di sini, kami tidak akan bertindak bodoh dengan menerima keuntungan tinggi dalam jangka masa pendek untuk melemahkan prestasinya," kata Dreesen.

United mengeluarkan perbelanjaan besar pada musim panas lalu apabila membawa masuk semula bekas pemainnya, Paul Pogba dengan tawaran 89.3 juta pound selain membeli Zlatan Ibrahimovic dan Henrikh Mkhitarayan.

Muller merupakan produk yang dilahirkan dari akademi bola sepak remaja Bayern.

Dia menjaringkan 156 gol dalam semua kejohanan untuk Bayern sejak melakukan penampilan pertamanya dalam skuad senior pada 2008.





Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Real Bangkit Benam Napoli

Artikel Lain