ANTOINE Griezmann menjaringkan gol ke-17nya musim ini ketika Atletico Madrid menundukkan Bayern Leverkusen 4-2 pada aksi pertama 16 terakhir Liga Juara-Juara di BayArena, awal pagi Rabu. Dengan kemenangan itu, Atletico kini memperoleh bekalan selesa bagi menghadapi aksi kedua di gelanggang sendiri bulan depan. Anak buah Diego Simone itu berada di depan menerusi jaringan Saul Niguez pada minit ke-17 dan Antoine Griezmann, lapan minit kemudian. Bagaimanapun, Leverkusen berjaya mengurangkan defisit gol itu menerusi jaringan Karim Bellarabi pada minit ke-48. Atletico terus menambah derita Leverkusen apabila Kevin Gameiro menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-59 untuk meletakkan pelawat kekal mendahului dengan 3-1. Stefan Savic bagaimanapun melakukan kesilapan dengan meledak gol sendiri sekali gus menghadiahkan gol kedua untuk tuan rumah pada minit ke-68. Perlawanan itu menjadi aksi penuh mendebar selepas kedudukan 3-2 sebelum Fernando Torres melegakan penyokong Atletico apabila melengkapkan gol keempat ketika perlawanan berbaki empat minit. Menerusi kekalahan itu, Leverkusen kini kecundang buat kali pertama kalinya di depan penyokong sendiri selepas berjaya 10 rekod tanpa kalah dalam aksi peringkat Eropah. Sebelum ini, kelab Jerman itu yang juga finalis 2002 pernah terlepas aksi slot lapan terbaik empat kali selepas gagal melepasi pusingan ini dalam empat percubaan terdahulu. Sementara itu, Atletico pula berada selangkah untuk ke saingan suku akhir buat kali kesembilan dalam kejohanan tersebut.