suria

Felda United Berdepan Hanoi FC Tanpa Tonggak Utama

Sathianathan (dua dari kiri) berjabat tangan dengan jurulatih Hanoi FC, Chi Dinh Nghiem pada sidang media di Stadium Shah Alam pada 6 Mac 2017.

SHAH ALAM: Walaupun kehilangan tiga tonggak utama, pengendali Felda United, B. Sathianathan tetap optimis dengan keupayaan barisan pemain sedia ada dalam misi melakar kemenangan pertama pada aksi saingan Piala AFC menentang wakil Vietnam, Hanoi FC pada Selasa.

Sathianathan mengakui beliau berhasrat menurunkan kesebelasan utama yang menewaskan Sarawak pada Sabtu lalu untuk mengekalkan momentum pasukan pada perlawanan di Stadium Shah Alam, tetapi terpaksa melupakan khidmat tiga pemainnya Fazrul Hazli Kadri, Norfazly Alias dan Wan Zack Haikal yang dibelenggu kecederaan.

Sathianathan mengesahkan Norfazly bergelut dengan kecederaan paha, Fazrul Hazli pula terpaksa direhatkan akibat masalah pangkal paha dan Wan Zack lutut.

"Ia bukan kesebelasan utama terbaik malah pemain simpanan kita tidak mempunyai masa yang cukup untuk berlatih kerana jadual yang padat.

"Kita mempamerkan persembahan terbaik ketika menentang Sarawak, jadi saya mahu mengekalkan senarai kesebelasan utama itu. Namun kecederaan yang melanda Norfazly, Fazrul dan Wan Zack memaksa saya melakukan beberapa perubahan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media antara Felda United dan Hanoi FC menjelang pertemuan kedua-dua pasukan pada aksi kedua saingan Piala AFC di Stadium Shah Alam, petang Selasa.

Pada aksi pertama saingan Piala AFC peringkat Kumpulan G, Felda United tewas 1-2 kepada naib juara Liga Singapura musim lalu, Tampin Rovers di Stadium Jalan Besar, Singapura bulan lalu.

Meskipun tidak menggunakan khidmat pemain harapan, Sathianathan mengharapkan kesebelasan utama yang diturunkan nanti dapat mempamerkan prestasi lebih baik berbanding aksi menentang Sarawak pada saingan Liga Super, Sabtu lalu.

"Saya harap mereka yang beraksi buat pertama kalinya membuktikan kepada saya bahawa mereka lebih bagus daripada pemain yang saya turunkan ketika menentang Sarawak tempoh hari," katanya.

Ketika ditanya mengenai kekuatan Hanoi FC, Sathianathan percaya pasukan lawan itu tidak akan memberi laluan mudah kepada Felda United selaku tuan rumah.

"Saya tahu mereka ada pengalaman beraksi pada Piala AFC sebelum ini. Malah mereka juga berada di tangga kedua Liga Vietnam, ini bermaksud mereka antara pasukan terkuat," katanya.

Pada masa sama beliau turut menasihati anak buahnya supaya sentiasa waspada dengan ancaman pemain Hanoi FC yang terkenal dengan kelincahan ketika di atas padang.

"Secara tradisinya pasukan dari Vietnam, rata-rata pemain mereka amat tangkas dan tidak mudah penat di atas padang. Dengan menduduki tangga kedua liga tempatan ini membuktikan pemain mereka amat berkualiti," katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Hanoi FC, Chu Dinh Nghiem yakin anak buahnya dapat menghadiahkan mata kemenangan ketika menentang Felda United selepas sekadar terikat seri 1-1 dengan Ceres Negros FC, bulan lalu.  

"Kami ada peluang yang baik pada aksi pertama tetapi keputusan hanya seri 1-1. Saya tidak gembira. Namun kami datang ke sini untuk dengan misi untuk mendapatkan mata pada perlawanan ini," katanya.

Jelas Dinh Nghiem, Hanoi FC turut bergelut dengan krisis kecederaan pemain tetapi beliau sudah menemui strategi terbaik untuk perlawanan petang Selasa.

"Isu sekarang kebanyakan pemain utama kami tidak 100 peratus cergas dan jadual amat padat. Namun saya sudah temui penyelesaian dan yakin dengan keupayaan pemain yang diturunkan esok," katanya.

Hanoi FC dibarisi 15 pemain yang merupakan pemain muda dan bekas pemain skuad kebangsaan Vietnam.

Selain itu, mereka juga diperkuat pemain import Gonzalo Marronkle (Argentina), Loris Arnaud (Perancis) Moses Oloya (Uganda) dan Alvaro Silva Linares (Filipina).

B, Sathianathan, Felda United, AFC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain