suria

Aaliyah Raih Gangsa Di Kejohanan Remaja Moomba

KUALA LUMPUR: Atlet ski air muda negara, Aaliyah Yoong Hanifah meraih pingat gangsa acara tricks di Kejohanan Remaja Moomba di Sungai Yarra di Melbourne, Australia, Isnin.

Menurut Persekutuan Ski Air dan Wakeboard Malaysia (MWWF), Aaliyah, 13, yang juga pemegang rekod Asia acara tricks, mengutip 6,220 mata di pusingan pertama sebelum mendapat 6,570 mata di pusingan akhir untuk menduduki tempat ketiga.

Ini adalah pingat ketiganya di Kejohanan Remaja Moomba selepas mendapat perak dalam acara sama, masing-masing pada 2014 dan 2015.

Juara dunia, Anna Gay dari Amerika Syarikat muncul juara selepas mengutip 10,220 mata manakala peserta Kanada yang juga naib juara dunia, Neilly Ross, kedua dengan 8,450 mata.

"Saya cukup tenang ketika mengharungi kedua-dua pusingan itu. Saya hanya memastikan dapat berdiri dalam setiap pergerakan dan tidak mengambil risiko mengejar mata tambahan di Sungai Yarra...ternyata ia berjaya.

"Jika saya cuba mengejar mata tambahan, ia masih tiada jaminan untuk menewaskan Anna atau Neilly. Saya gembira dapat menaiki podium buat kali ketiga di kejohanan ini walaupun ia sekadar gangsa," kata Aaliyah dalam kenyataan yang dikeluarkan MWWF.

Sementara itu, ketua jurulatih MWWF, Hanifah Yoong berkata Aaliyah menunjukkan keyakinan tinggi sejak dari awal pertandingan.

"Dia begitu yakin dan ini adalah keyakinan paling tinggi pernah saya saksikan daripadanya dalam sebarang pertandingan selama ini.

"Tahun depan, Anna tidak lagi layak beraksi dan Neilly pula mencecah usia 17 tahun. Pastinya peluang Aaliyah muncul juara di Kejohanan Remaja Moomba dapat diperoleh dalam masa terdekat kerana dia layak beraksi untuk empat tahun lagi," katanya.

Sebagai rekod, Aaliyah tiba di Melbourne selepas menampilkan aksi cemerlang di Kejohanan Ski Air dan Wakeboard Asia-Ocenia di New Zealand bulan lepas di mana dia meraih dua pingat emas. - BERNAMA

Aaliyah Yoong Hanifah, Moomba

Artikel Sebelum

Keputusan Piala FA

Artikel Berikut

Artikel Lain