MANCHESTER United menempah tempat beraksi di suku akhir saingan Liga Europa 2016/17 selepas menang tipis 1-0 ke atas FC Rostov dalam aksi timbal balik, awal pagi Jumaat. Gol tunggal United yang diperolehi United melalui Juan Mata menjadi penentu kemenangan kelab ini yang bermain di kandang sendiri, Old Trafford. Skuad bimbingan Jose Mourinho ini mara dengan agregat 2-1. Walaupun hanya memmerlukan keputusan seri selepas unggul di kandang lawan dalam perlawanan pertama, United tetap turun dengan corak permainan menyerang sejak awal perlawanan. Mereka melakukan 14 tendangan ke gawang lawan sepanjang babak pertama berbanding Rostov yang hanya melakukan satu sepakan. Bagaimanapun, kedudukan 0-0 terikat sehingga tamat separuh masa pertama. Pada babak kedua, dua pemain United terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan. Pogba digantikan dengan Marouane Fellaini pada minit ke-47 dan Phil Jones menggantikan Daley Blind pada minit ke-64. Pada minit ke-70 United akhirnya berjaya memecah kebuntuan bermula dari umpan Mkhitaryan dari sebelah kanan, kemudian disambut Zlatan Ibrahimovic untuk disempurnakan Juan Mata yang berada di depan gawang. United juga perlu berterima kasih kepada penjaga gawang Sergio Romero yang menepis dua peluang emas FC Rostov, iaitu tandukan Aleksandr Bukharov pada minit ke-79 dan tendangan bebas Christian Noboa menjelang tamat perlawanan. Dengan keputusan ini, United berjaya menyingkirkan wakil Rusia itu dan layak ke suku akhir bersama tujuh pasukan lain.