VALTTERI Bottas mengakui sedikit tertekan menjelang permulaan musim 2017 Formula Satu (F1) bersama pasukan Mercedes. Bottas dipilih untuk menggantikan tempat Nico Rosberg yang bersara selepas merangkul gelaran, juara dunia musim lalu. Jelasnya, bayangan tekanan mula timbul bagi membuktikan dirinya layak bersama Mercedes di samping rakan sepasukan baharu, Lewis Hamilton. Bekas pelumba pasukan Williams itu menandatangi perjanjian bersama Mercedes selama setahun dan tawaran musim 2018 akan dibuka kepada pelumba-pelumba lain yang telah tamat kontrak bersama pasukan masing-masing termasuk Sebastian Vettel dan Fernando Alonso. "Satu peluang yang besar berada di sini. Sudah tentu ia merupakan satu cabaran besar. "Tidak ada ragu-ragu untuk membuktikan kepada semua pihak serta pasukan bahawa saya layak berada di sini. "Saya melihat semua perkara dari sudut yang positif untuk karier dalam bersaing untuk menang serta merangkul kejuaraan," jelasnya. Bottas juga menegaskan tidak ada risiko untuk menjadi pelumba kedua bersama Hamilton. "Saya tidak fikir sebagai pelumba kedua. Mercedes tidak ada pelumba pertama atau kedua, jadi ia terpulang kepada saya untuk pamerkan yang terbaik. "Selagi saya menjalankan tugas sendiri, kami akan menjadi lebih baik. Dan tahu, saya boleh buat". Perlumbaan pembukaan F1 musim ini bakal berlangsung di Litar Albert park, Australia pada 24 -26 Mac ini.