suria

Cub Prix: Hafieenaz Buru Aksi Terbaik Bersama Pasukan Baharu

PETALING JAYA: Mohd Hafieenaz Mohd Ali tekad untuk kembali ke prestasi terbaik untuk memberikan cabaran dalam perlumbaan kategori CP115 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2017 yang memasuki pusingan kedua di Litar Lumba Tangkak, Johor, pada 24 dan 25 Mac ini.

Hafieenaz yang kini membawa cabaran WL Motorsports Racing mencatat keputusan membanggakan apabila menamatkan saingan pusingan pertama di Temerloh di tangga keempat untuk mengumpul 13 mata kejuaraan setelah aksi kurang memberangsangkan sepanjang musim 2016.

Pelumba berusia 31 tahun itu merupakan antara pelumba yang dilihat berupaya memberikan cabaran sengit pada peringkat awal kemunculannya bersama pasukan Raceline meskipun dibayangi rakan sepasukan yang begitu menyerlah ketika itu, Hafizh Syahrin Abdullah.

Meskipun pasukan Raceline membuat keputusan untuk memberi sepenuh perhatian kepada bintang mereka, Hafizh Syahrin, Hafieezan beralih ke pasukan AHM pada tahun 2011 dan menamatkan saingan diantara 10 pelumba terbaik ketika itu.

Hafieenaz menerima nasib serupa apabila pasukan AHM memutuskan hanya beraksi dalam kelas CP130 untuk memberi tumpuan penuh terhadap Mohd Ramdan Rosli yang beralih ke saingan di Sepanyol.Sepanjang tempoh enam tahun menyaksikan prestasi turun naik dalam karier Hafieenaz.

"Beraksi bersama pasukan besar sudah tentu banyak perbezaan dengan pasukan kecil ataupun persendirian. Segalanya lengkap dari segi persediaan, kemudahan dan alat ganti. Bila bersama pasukan kecil, perbelanjaan dan kemudahan agak terbatas," jelas Hafieenaz yang beraksi secara persendirian dalam kategori CP115 pada musim lepas.

Situasi berbeza buat Hafieenaz pada musim ini apabila menerima tawaran daripada pasukan baharu, WL Motorsports Racing dan dia percaya mampu untuk beraksi dengan lebih baik pada tahun ini.

"Pasukan ini masih baharu, kecil dan masih kurang pengalaman. Namun melakukan persediaan yang cukup, lebih sistematik untuk menghadapi perlumbaan.

"Saya gembira kerana menerima tawaran mereka dan berterima kasih kepada pengurus dan pemilik pasukan yang memberi kepercayaan kepada saya. Saya akan mencurahkan pengalaman saya uuntuk membantu mereka mencipta kejayaan.

Mengulas tentang persaingan di Litar Lumba Tangkak, pelumba kelahiran Perak itu berkata dia amat gembira saya terutama setelah terpaksa berhempas pulas sebagai pelumba dan mekanik pada musim lepas dan berharap dapat membuat kebangkitan semula pada tahun ini.

Artikel Lain