PETALING JAYA: Bekas pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Mario Gomez menafikan dakwaan dia meminta gaji yang tinggi jika mahu dilantik sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya. Sebaliknya, Gomez berkata dia hanya mahukan kontrak yang lebih panjang berbanding tawaran selama setahun oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). "Itu tidak benar. Saya tidak minta gaji lebih tinggi berbanding yang diperolehi semasa bersama JDT," katanya seperti dipetik sebuah portal berita berbahasa Inggeris. Menurut Gomez, dia hanya akan menerima tawaran tersebut sekiranya FAM menawarkannya kontrak selama dua tahun. "Saya hanya ditawarkan kontrak setahun sedangkan sekurang-kurangnya dua tahun diperlukan untuk membawa perubahan kepada pasukan," katanya. Pada Selasa, Presiden FAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata kedudukan pengendali dari Argentina itu sebagai jurulatih skuad negara masih belum muktamad. Jelas Tunku Ismail, masalah gaji menjadi halangan besar mendapatkan khidmat Gomez. "Mario minta gaji yang lebih tinggi daripada apa yang diperoleh semasa mengendalikan JDT. Bagi saya, ini skuad kebangsaan dan itu mungkin tidak dapat dipenuhi. "Ini bukan kelab JDT. Saya tawar seberapa banyak dan dia (Gomez) kata hendak fikir dahulu sebab hendak lebih duit. Kemungkinan kita (FAM) tidak akan ambil dia, sebab kita pun tak ada duit," kata Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor. Beliau berkata demikian pada sesi pertemuan bersama lebih 40 pengamal media terdiri daripada ketua pengarang dan pengarang sukan media tempatan di Bangunan Sultan Ibrahim, Johor Bahru pada Selasa. Tunku Ismail pada sidang media selepas dilantik sebagai Presiden FAM pada Kongres FAM ke-53 mengumumkan Gomez sebagai jurulatih skuad kebangsaan manakala Datuk Ong Kim Swee pula akan mengendalikan skuad bawah 23 tahun negara.