BINTANG sensasi Manchester United, Zlatan Ibrahimovic menamakan dua penyerang pilihannya dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini. Pemain kelahiran Sweden itu menjaringkan 16 gol bagi kempen musim ini. Ibrahimovic menamakan Romelu Lukaku dan Sergio Aguero sebagai penyerang terbaik selain dirinya. "Saya suka penyerang yang melakukan kelainan. Lukaku kuat manakala Aguero bagus," katanya. Ketika ditanya mengapa dia tidak memilih dirinya sendiri, Ibrahimovic berkata:"Singa tidak membandingkan diri mereka dengan manusia." Ibrahimovic menjaringkan sepakan penalti pada masa kecederaan ketika United memperoleh gol penyamaan ketika menentang Everton pada Selasa malam. Namun dia mengakui kecewa dengan tekanan peminat yang mahukan dia sentiasa beraksi cemerlang sepanjang masa. "Apabila anda sebahagian daripada pasukan anda fikir anda sudah melakukan sesuatu untuk pasukan. "Buat masa ini saya belum berupaya melakukan sesuatu, saya mempunyai banyak tanggungjawab dan merasaikan tekanan itu," katanya.