suria

Piala AFC: JDT Kecundang Di Manila

Safiq Rahim diasak pemain lawan. foto ihsan Johor Southern Tigers.

KUALA LUMPUR: Pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) gagal mengekalkan rentak kemenangan dalam saingan Piala AFC musim ini, apabila tewas 2-3 kepada wakil dari Filipina, Global FC malam Rabu.

Kekalahan sulung itu juga menyebabkan skuad kendalian Benjamin Mora, gagal muncul pasukan pertama menempah slot ke peringkat kalah mati pada kejohanan berkenaan.

Pada aksi Kumpulan F di Stadium Memorial Rizal, Manila itu, pasukan tuan rumah bermula garang apabila mendahului 3-0 pada separuh masa pertama, bagi menebus kekecewaan dibelasah 4-0 di Larkin, pada aksi pusingan pertama, 14 Mac lepas.

Skuad kendalian jurulatih dari Jepun, Toshiaki Imai, itu membuka jaringan menerusi Dennis Villanueva pada minit ke-26, sebelum Shu Sasaki menggandakan kedudukan pada minit ke-32, diikuti jaringan Amani Aguinaldo dua minit kemudian.

Bersambung babak kedua, skuad Harimau Selatan bangkit menerusi dua jaringan pemain import dari Argentina, Gabriel Guerra pada minit ke-47 dan 82, namun terpaksa akur dengan keputusan berpihak kepada pasukan tuan rumah.

Kemenangan itu juga membantu Global FC melonjak ke tangga teratas Kumpulan F dengan sembilan mata selepas empat perlawanan, manakala JDT menduduki tangga kedua dengan tujuh mata, diikuti Beoungket Angkor FC (4 mata) dan Magwe FC (2 mata).

Pada satu lagi aksi Kumpulan F, wakil dari Myanmar, Magwe FC seri 1-1 menentang pasukan dari Kemboja, Beoungket Angkor FC di Yangon.

JDT akan berkunjung ke Phnom Penh untuk bertemu Beoungket Angkor FC pada 19 April ini, sebelum menamatkan aksi peringkat kumpulan menentang Magwe FC di Larkin pada 3 Mei. - BERNAMA

JDT, Piala AFC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain