suria

JDT Kritik Program NFDP

Alistair Edwards.

PETALING JAYA: Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) mengkritik mutu pertandingan yang dinaungi Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) kerana dianggap tidak memuaskan.

Pengarah Sukannya, Alistair Edwards mendakwa, beliau menerima aduan jurulatih Akademi Valencia bahawa mereka tidak ada pengadil, garis padang hanya ditandakan dengan kon dan tidak ada tempat teduhan untuk pemain.

Selain itu dakwanya, sepak mula yang dijadualkan juga tertangguh tanpa alasan yang jelas.

"Walaupun ia bertujuan baik untuk pasukan Akademi JDT mengambil bahagian dalam pertandingan yang bermakna ini tetapi kami di JDT kecewa.

“Ini adalah sangat berbeza dengan apa yang kita sudah biasa lakukan di JDT. Ia mengenai tahap profesionalisme walaupun pertandingan pertama untuk musim 2017,” kata Alistair dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata demikian merujuk kepada penyertaan pasukan itu dalam program B-12 dan B-13 pada Ahad.

Sehubungan itu, Alistair berharap mutu penganjuran NFDP dapat ditambah baik pada masa akan datang.

Ini kerana katanya, ia demi kebaikan pemain dan pegawai pasukan yang mengambil bahagian dalam perlawanan akan datang, selaras dengan objektif Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN).

Status NFDP mula dibangkitkan apabila Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menyatakan semua program bola sepak peringkat akar umbi termasuk NFDP sepatutnya diuruskan anggota gabungan dan bukannya KBS.

Bagaimanapun, program NFDP kekal diuruskan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), setidak-tidaknya buat masa ini, kerana belum ada tanda perubahan statusnya kepada program yang dilancarkan pada 2014.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, beliau yakin kerjasama yang dijalin antara FAM di bawah pimpinan baharu dan NFDP, mampu membuahkan hasil yang positif kepada pembangunan bola sepak negara.

Artikel Lain