suria

Spasojevic Letak Jawatan Kapten Melaka United

MELAKA: Kapten pasukan Melaka United, Ilija Spasojevic membuat keputusan mengejut untuk melepaskan jawatan sebagai kapten pasukan pada Rabu.

Pemain kelahiran Yugoslavia itu mengumumkan perkara itu kepada penyokong skuad Hang Tuah  menerusi laman sosial Facebooknya sebelum perlawanan menentang pasukan PKNS dalam Liga Super di Stadium Hang Jebat malam ini.

“Saya sudah lama pertimbangkannya dan telah memberitahu jurulatih pagi tadi,”katanya.

Beliau berkata adalah menjadi satu penghormatan baginya terutama apabila diberi kepercayaan sebagai kapten pasukan setelah berjaya menamatkan penantian selama 33 tahun pasukan Melaka United menyertai Liga Super pada musim ini.

Katanya beliau sentiasa meletakkan kepentingan pasukan terlebih dahulu sebelum dirinya sendiri dalam  kerjayanya dan berharap individu yang lebih layak akan dipilih untuk mengetuai pasukan Melaka.

“Saya berjanji akan terus berjuang untuk pasukan selagi khidmat saya diperlukan dalam pasukan ini dan berharap penyokong dapat meneruskan sokongan kepada pasukan,”katanya.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA), Datuk Yusoff Mahadi yang dihubungi Bernama berkata beliau belum mengetahui berita itu.

“Kami belum terima apa-apa pengumuman atau surat dari Spaso dan tidak dapat mengesahkan apa-apa lagi buat masa ini...namun saya akan berjumpa dengan beliau dan jurulatih nanti,”katanya.

Sekiranya Spaso melepaskan jawatannya, penyerang berpengalaman pasukan Melaka Mohd Amri Yahyah dilihat calon paling sesuai apabila dilihat beberapa kali menggalas tanggungjawab itu apabila Spaso tidak diturunkan.-Bernama

Ilija Spasojevic, Melaka United

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain