ARSENAL menang 2-0 ke atas Sunderland dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates, awal pagi Rabu. Dua gol Arsenal dicipta oleh pemain dari Chile, Alexis Sanchez pada minit ke-72 dan ke-81. Kemenangan ini begitu penting bagi The Gunners untuk terus menghidupkan peluang mereka layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan. Arsenal kini berada di posisi kelima dengan 72 mata, kurang satu mata dari Liverpool di tempat keempat carta liga. Pengurusnya Arsene Wenger mengakui sedikit kecewa apabila pasukannya gagal menjaringkan gol pada babak pertama walaupun mendapat banyak peluang. "Kami melepaskan banyak tendangan yang tepat sasaran, tetapi ia menguji kesabaran kami. Kami memang kecewa pada babak pertama kerana tidak mampu menjaringkan gol," kata Wenger memetik BBC Sport. "Sekarang, kami ada 72 mata dan ingin mengejar 75 mata. Lihatlah apa yang terjadi selepas itu," katanya. Bagi Sunderland pula, kekalahan ini membuatkan mereka terus terbenam di tangga tercorot di tenpat ke-20.