MELAKA: Obor Kuala Lumpur 2017 (KL2017) bagi temasya Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 dibawa menyusuri Sungai Melaka menaiki bot sempena Program FitMalaysia yang berlangsung di Dataran Restoran Melayu Melaka di Jalan Mutahir di sini, Sabtu. Obor itu yang dibawa Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Roslan Ibrahim bermula dari jeti Kampung Morten sebelum berhenti di jeti Restoran Melayu Melaka dan disambut Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Lokman Hakim Ali serta kira-kira 2,000 peserta Program FitMalaysia. Roslan kemudian menyerahkan obor itu kepada Pegawai Daerah Alor Gajah Daud Hassan dan Larian Obor berkenaan akan diteruskan ke destinasi terakhir di Melaka iaitu di Dataran Keris di Alor Gajah pada Ahad, selepas bermula di daerah Jasin pada 18 Mei lepas. Terdahulu peserta Larian Obor dilepaskan dari Dataran Sungai Melaka oleh Anggota Dewan Negara Senator Datuk Abidullah Salleh sebelum tiba di jeti Kampung Morten sejauh kira-kira empat kilometer. Melaka adalah destinasi kedua selepas Johor bagi Larian Obor KL2017 anjuran Sekretariat Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) dan larian itu dijangka diteruskan ke Negeri Sembilan pada Isnin ini. Ia akan berakhir di Kuala Lumpur pada 19 Ogos depan, menandakan bermulanya temasya Sukan SEA Kuala Lumpur ke-29. Obor berkenaan adalah simbol semangat kesukanan dan kesepaduan kepada atlet yang bertanding dalam temasya sukan berkenaan selaras dengan tema ''Bangkit Bersama''. Sementara itu, pelbagai aktiviti dianjurkan sempena Program FitMalaysia seperti senamrobik, zumba, larian dan berbasikal dalam usaha mempromosikan amalan hidup sihat dalam kalangan rakyat negara ini. - BERNAMA