KOTA BHARU: Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mahu pihak pengurusan bola sepak negara, Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) berlaku adil terhadap isu yang dihadapi oleh persatuan itu ketika ini. Annuar berkata pihak pengurusan FMLLP tidak seharusnya melakukan sesuatu tindakan secara bebas tanpa mengadakan perbincangan bersama KAFA berkaitan tindakan yang dikenakan terhadap pasukan The Red Warriors (TRW) itu. "Kita (Kelantan) pasukan miskin, pasukan kais pagi makan pagi, pasukan yang didokong orang yang tiada pangkat atau kuasa...bukan MB (Menteri Besar) dan bukan istana namun jangan buat sesuka hati, kita hanya mahu keadilan dalam bersukan," katanya pada halaman Facebooknya, Rabu. Kelantan ketika ini menghadapi isu sekatan pendaftaran pemain import baharu selain daripada isu tunggakan gaji dan juga permotongan enam mata pada saingan Liga Super musim ini. Annuar berkata sepatutnya pihak yang bertanggungjawab terhadap badan gabungannya membawa KAFA berunding berkaitan masalah yang dihadapi ketika ini. "Kelantan tidak dibawa beruding, konsultasi supaya masalah yang dihadapi dapat difahami, ini bermula dengan pelbagai tuduhan terhadap saya hingga merebak ke MARA (Majlis Amanah Raya) dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). "Tidak cukup di situ pasukan di potong mata, kemudian mahu dihalang usaha penambahbaikan pasukan. Apa salah sekiranya The Red Warriors (TWR) diperkuatkan? atau kerana Kelantan miskin dibolehkan jual segala yang ada tapi tidak boleh baiki atau perkuat kembali," katanya. Pada awal bulan ini, Kelantan antara empat pasukan dipotong mata berikutan kegagalan menyelesaikan tunggakan gaji pemain-pemain yang beraksi dalam Liga Malaysia sejak musim 2015 dan 2016. Tiga lagi pasukan yang turut dikenakan tindakan yang sama oleh FMLLP ialah Perlis, ATM, dan T-Team. - BERNAMA