PETALING JAYA: Johor Darul Ta'zim (JDT) memastikan corak serangan akan dikekalkan menjelang separuh akhir kedua Piala AFC (Zon Asean) bertemu Ceres Negros FC, Rabu malam. Ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora menegaskan dia tidak mahu berada dalam keadaan selesa selepas menang ke atas kelab Filipina itu dalam aksi pertama sebelum ini. "Walaupun kami menang 3-2 tempoh hari kerana anda sendiri boleh lihat betapa pasukan lawan begitu agresif dan mampu menjaringkan gol di Larkin. "Untuk perlawanan ini, saya akan membariskan kesebelasan terbaik dan mahu setiap pemain memainkan peranan penting dan tidak memberi ruang kepada lawan untuk menguasai perlawanan. "Barisan serangan juga tidak boleh lagi terlepas peluang menjaringkan gol selepas beberapa percubaan yang sepatutnya menghasilkan gol tidak membuahkan hasil," jelasnya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers. Jelas Mora, dia menuntut para pemain untuk memberikan sepenuh komitmen mereka untuk memenangi perlawanan ini. "Saya juga tidak akan mengambil risiko untuk bertahan kerana pasukan lawan masih berpeluang untuk menggagalkan usaha kami," katanya yang bakal berdepan dengan tuan rumah di Stadium Panaad, Bacolod City, 7.30 malam ini. Selain itu, penyerang utama JDT, Gabriel Guerra bertekad untuk tersu berjuang menamban bilangan gol. GABRIEL GUERRA "Kami tidak boleh terlalu bergantung kepada kelebihan satu gol dan perlu beranggapan kedudukan masih 0-0. "Kami perlu menang serta bermain lebih agresif dengan sentiasa membuat serangan. "Saya akui agak terkilan selepas gagal mencipta jaringan pada perlawanan sebelum ini meskipun terdapat beberapa peluang berharga," jelasnya. Guerra yang merakam tujuh gol sepanjang kempen Piala AFC musim ini, mengakui sebagai pemain dia dan rakan sepasukan akan memberi persembahan terbaik bagi mengimbangi kekuatan pasukan lawan yang akan beraksi di laman sendiri.