suria

Isu Ghaddar: Sah Ikut Peraturan

Mohammed Ghaddar.

PETALING JAYA: Perpindahan bekas pemain import Kelantan, Mohammed Ghaddar ke Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 18 Mei lalu adalah sah, kata Usahasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia Berhad (FMLLP).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam, tidak timbul isu pembatalan perpindahan pemain kelahiran Lubnan itu kerana telah mengikut proses dan diberi pertimbangan yang sewajarnya.

"Saya rasa isu ini tak patut timbul dan tak perlu dibangkitkan. Ia sengaja ditimbulkan untuk cetus provokasi, itu sahaja," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.

Tegas Kevin, FMLLP membenarkan perpindahan Ghaddar selepas mendapati proses itu memberi keuntungan yang amat besar kepada pasukan Kelantan.

"Sekatan bermaksud kita boleh beri ruang untuk pertimbangan. Kenapa kita buat begitu? Ini kerana jika ada ruang untuk Kelantan raih sesuatu keuntungan dan mereka boleh dapat keuntungan daripada itu, maka kita boleh beri pertimbangan.

"Katakanlah keuntungan sejuta. Kalau mereka ada satu keuntungan yang boleh membantu Kelantan menyelesaikan masalah jangka masa panjang, jadi ada ruang untuk kita beri pertimbangan yang sewajarnya," katanya.

Mengulas mengenai perpindahan pemain import Abou Bakar Al-Mel atau Bako ke Kelantan, Kevin berkata pasukan itu telah meraih keuntungan hasil penjualan Ghaddar dan menggunakan wang itu untuk membeli pemain gantian tersebut.

"Sekiranya pada masa akan datang ada kes sedemikian, kita boleh beri pertimbangan yang sewajarnya tetapi bukan pertukaran sesuka hati," katanya.

Sebelum ini, penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa (gambar) meminta FMLLP membatalkan pemindahan Ghaddar ke JDT memandangkan persatuan itu masih ''gagal'' memenuhi syarat-syarat ditetapkan badan tersebut.

Annuar berkata langkah itu harus diambil memandangkan FMLLP terus mengenakan pelbagai syarat yang dilihatnya sebagai cubaan untuk menggagalkan usaha KAFA membawa masuk seorang lagi pemain import baharu Kelantan, Syedi L Imam bagi menggantikan Alessandro Padovani Celin yang kurang cergas ketika ini.

"Semalam mereka beri alasan hasil perpindahan (Ghaddar) tak dibelanja untuk selesai 'masalah' tanpa mereka siasat terlebih dahulu. Hari ini lain pula ceritanya...kerana tidak melengkapkan dokumen pendaftaran pula.

"Sekiranya (ada) sekatan yang belum KAFA lepas, sila batalkan perpindahan Ghaddar kerana undang-undang mesti jelas dan konsisten," kata Annuar.

Mohammed Ghaddar, FMLLP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain