suria

Dakwaan Annuar Sekadar Provokasi - FMLLP

Kevin Ramalingam.

PETALING JAYA: Usahasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia Berhad (FMLLP) menyifatkan dakwaan Tan Sri Annuar Musa bahawa badan pentadbir Liga Malaysia cuba menggagalkan usaha Kelantan untuk membawa masuk seorang lagi pemain import baharu, Syedi L Imam tidak lebih sekadar provokasi.

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam berkata Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) tidak dibenarkan untuk membawa masuk Syedi L Imam bagi menggantikan Alessandro Padovani Celin yang kurang cergas ketika ini kerana mereka masih gagal melengkapkan proses pendaftaran Liga Malaysia 2017.

"Kenyataan Tan Sri Annuar (Musa) tak betul kerana sekatan perpindahan itu dikuatkuasakan akibat kegagalan Kelantan melengkapkan pendaftaran pasukan. Kenyataan kami tak pernah berubah dari itu.

"Mereka perlu kemuka atau muatnaik empat dokumen utama iaitu deklarasi gaji, pembayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perkeso dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melalui Sistem Pengurusan Maklumat Bolasepak (SPMB), tetapi pasukan Kelantan tetap gagal berbuat demikian," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.

Tegas beliau, FMLLP tidak mengenakan sebarang syarat baharu dalam isu pengambilan pemain baharu ketika ini.

Sebaliknya, Kevin berkata Kelantan perlu melengkapkan proses pendaftaran pasukan terlebih dahulu dengan mengemukakan empat dokumen utama sebelum 11 Jun depan iaitu tarikh akhir jendela perpindahan pemain bagi membolehkan perpindahan Syedi L Imam disempurnakan.

"Pada Januari kita telah beri amaran, seterusnya kita beri peringatan sehinggalah kita jatuhkan hukuman pemotongan mata pada 2 Mei lalu. Kalau tak sempat waktu itu buatlah sekarang, Kelantan masih ada masa lagi.

"Kita cuma ingin menggalakkan (Kelantan) buatlah apa yang mereka sudah tahu perlu lakukan. Ini sudah jelas tapi tanpa menangani isu ini, tanpa buat apa yang sepatutnya, sekatan pemain tetap dikuatkuasakan," katanya.

Kevin berkata Kelantan sepatutnya memandang serius peraturan yang ditetapkan FMLLP dan mengemukakan empat dokumen utama yang dikehendaki.

"Jika mereka sudah kemukakan dokumen-dokumen itu, tidak timbul masalah dalam soal perpindahan pemain. Masalah ini berlaku kerana mereka masih belum melakukan apa yang dikehendaki FMLLP.

"Sudah berbulan-bulan, jadi kenapa ini dijadikan isu sedangkan mereka sudah lama tahu isu ini," katanya.

Pada masa sama, Kevin turut menasihatkan Kelantan supaya menyelesaikan punca utama kepada masalah tersebut dengan segera dan berhenti memutar-belitkan perkara yang tidak benar.

"Buat apa yang sepatutnya perlu dibuat, jangan timbulkan isu-isu baharu yang akan merumitkan lagi keadaan. Jangan spin isu tak betul kerana mereka sudah jelas mengenai apa yang perlu dilakukan," katanya.

Kevin turut mempertikaikan tindakan Annuar yang lebih gemar 'berbuat bising' di laman media sosial daripada menyelesaikan masalah yang dihadapi pasukan.

"Kalau peraturan diambil serius, mereka tak akan bising. Namun mereka (Kelantan) mahu menggambarkan keadaan peraturan (FMLLP) adalah untuk menghukum dan mencacatkan pasukan Kelantan, ini semua tak benar.

"Peraturan yang sama wujud untuk semua pasukan. Kalau pasukan lain yang dikenakan pemotongan mata boleh buat (lengkapkan pendaftaran) kenapa Kelantan tak boleh," soalnya.

FMLLP, Kafa

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain