suria

Melaka United Perkenal Lapan Pemain Baharu

Tiga pemain import baharu Melaka United.

MELAKA: Pasukan Melaka United memperkenal lapan pemain baharu termasuk tiga pemain import dalam usaha pasukan itu memperbaiki kedudukan dalam Liga Super musim ini, serta memastikan skuad Hang Tuah kekal dalam liga berkenaan tahun depan.

Pengurus Melaka United Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata tiga pemain import berkenaan ialah pemain tengah Felipe De Almeida Souza  dari Brazil, yang sebelum ini beraksi untuk Oeste FC; bekas pertahanan FK Pelister dari Macedonia, Jasmin Mecinovic dan bekas penyerang Negeri Sembilan, Marko Simic dari Croatia.

Beliau berkata pemain tempatan pula ialah Fandi Othman (pertahanan), Nicholas Ryan Swirad (pertahanan) dan Azinee Taib (tengah), ketiga-tiganya dari Johor Darul Ta'zim (JDT) II, serta dua pemain tengah, S.Sivanesan daripada PKNS FC dan Nur Hakim Isa dari Perak FA.

"Setelah melihat Melaka United agak terumbang-ambing di saingan separuh pertama Liga Super tahun ini, pihak pengurusan telah mengadakan perbincangan bersama Presiden Melaka United Datuk Seri Idris Haron (yang juga Ketua Menteri Melaka) bagi membuat perubahan ini.

"Beliau (Idris) meluahkan kebimbangannya dan mengambil berat tentang prestasi serta reputasi Melaka United setelah mengharungi 13 perlawanan bagi musim pertama liga," katanya pada sidang akhbar pada Isnin.

Yusof berkata pasukan itu perlu menanggung kos tambahan antara RM1.5 dan RM2 juta bagi mendapatkan barisan pemain baharu berkenaan dan merombak barisan pemain, walaupun berdepan dengan kekangan kewangan pada masa ini.

Katanya kos tambahan berkenaan merupakan beban yang perlu ditanggung pihak pengurusan namun ia akan diuruskan dengan baik bagi meningkatkan keyakinan penyokong skuad itu yang sering mendakwa pihak pengurusan berdiam diri berikutan prestasi mengecewakan yang ditunjukkan pemain Melaka United.

Mengulas prestasi Melaka United pada saingan separuh pertama Liga Super musim ini, beliau berkata pasukan itu hanya memperoleh 13 gol dengan dibolosi 28 gol setelah mengharungi 13 perlawanan, dan ia jelas menunjukkan bahagian pertahanan tidak berfungsi dengan baik manakala jentera serangan tidak efektif.

Ditanya mengenai ketua jurulatih baharu bagi menggantikan Eric Williams, Mohd Yusoff berkata pihaknya kini memberi sepenuh tumpuan kepada pemilihan ketua jurulatih dan keputusan akhir akan dibuat esok agar segala perancangan terhadap pasukan itu berjalan lancar.

"Kita belum tentukan sama ada ketua jurulatih itu orang tempatan atau luar. Apa yang penting, dia dapat menyesuaikan diri dan membimbing pasukan dengan baik sepanjang baki separuh saingan musim ini terutama dengan kehadiran pemain-pemain baharu," katanya.-Bernama

Melaka United

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

Pelakon Lan Zailan meninggal dunia