MANCHESTER United terpaksa membelanjakan £50 juta jika mereka mahu membeli bintang Tottenham Hotspur, Eric Dier, menurut laporan. Jose Mourinho berminat untuk berbelanja besar pada musim panas ini kerana dia mahu membina skuad yang mampu memberi cabaran dalam Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara. Selepas menandatangani Victor Lindelof dari Benfica awal minggu ini, pengurus Portugis itu seterusnya dilihat menyasarkan Dier. Dier dikatakan menjadi pilihan kerana pemain England itu mampu bermain di bahagian tengah dan bek tengah. Mourinho bagaimanapun melihatnya sebagai pemain tengah dan percaya dia boleh menjadi pengganti jangka panjang untuk Michael Carrick apabila dia menggantung but tidak lama lagi. Carrick akan berada di Old Trafford untuk satu lagi musim tetapi Dier akan menjadi pemain tambahan yang dialu-alukan untuk skuad Mourinho. Bagaimanapun, sebarang percubaan untuk menarik pemain itu dari utara London akan menelan kos £50 juta, dakwa Telegraph. Ini kerana Mauricio Pochettino dan Pengerusi Tottenham, Daniel Levy berminat untuk mengekalkan pemain berusia 23 tahun itu. Dier baru menandatangani kontrak jangka panjang dengan Spurs pada September untuk bersama kelab itu sehingga 2021. Tetapi dia, yang kini mendapat sekitar £70,000 seminggu, tahu tidak mungkin dapat meningkatkan gajinya jika dia kekal bersama Spurs. Telegraph mencadangkan United boleh menggandakan pendapatan dan Naib Pengerusi Eksekutif Ed Woodward ditugaskan untuk memastikan perjanjian dapat ditandatangani. Mourinho telah menyatakan dengan jelas kepada Woodward bahawa dia mahukan Dier di Old Trafford musim depan.