ALEXIS Sanchez dan Mesut Ozil memberi harapan baharu kepada penyokong Arsenal bahawa mereka akan kekal di Emirates selepas kedua-duanya memainkan peranan utama dalam pelancaran jersi terbaru The Gunners. Arsenal mendedahkan jersi terbaru pasukan itu dalam satu majilis di Kings Cross Station yang berlangsung pagi Rabu. Beberapa legenda Arsenal, Robert Pires dan Martin Keown turut hadir memeriahkan majlis tersebut. Jersi terbaru The Gunners itu dihasilkan jenama barangan dan aksesori sukan terkemuka global, Puma. Wajah terbaru jersi berwarna merah putih itu dilengkapi kolar kemas dan bergaya dengan pelbagai fungsi buat pertama kalinya sejak 2016. Ruangan kolar pada jersi itu berwarna gelap sedikit berbanding logo kelab tersebut. Ini adalah musim keempat Arsenal menyarung jersi keluaran Puma dengan penaja utamanya Fly Emirates kekal menghiasi bahagian hadapan jersi itu sejak 2006. Sementara itu, Peter Cech turut memperagakan jersi penjaga gol terbaru yang menggabungkan dua warna hijau yang berbeza. Majlis pelancaran itu turut dianggap sebagai satu pengiktirafan yang akan memberi peluang kepada peminat untuk melihat jersi terbaru itu dan mengabadikan gambar bersama trofi Piala FA yang dimenangi kelab itu pada Mei lalu.