HASRAT Jose Mourinho mendapatkan penyerang berbisa Liga Perdana Inggeris mungkin tidak kesampaian walaupun sedia memecahkan rekod perpindahan dunia. Bos Manchester United itu dilaporkan mahu mendapatkan khidmat penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane berbanding membawa pulang bekas bintang Red Devils, Cristiano Ronaldo yang dikatakan mahu meninggalkan Real Madrid. Namun Spurs tidak berhasrat melepaskan penyerang mudanya itu ke United walaupun dibayar dengan harga sehingga 100 juta pound sterling, sekali gus memecah rekod pemain termahal dunia, Paul Pogba yang bernilai 89 juta pound sterling. Laporan media tempatan pada Ahad menyebut bahawa Mourinho menggesa timbalan pengerusi eksekutif, Ed Woodward untuk membeli Kane tetapi berita berkenaan mengundang kelucuan kepada pihak pengurusan Spurs. Difahamkan Pengerusi Spurs, Daniel Levy memiliki reputasi yang menyukarkan rundingan penjualan pemain, sekali gus memberi bayangan bahawa kelab London itu tidak akan melepaskan Kane. Malah harga untuk Kane sepatutnya lebih tinggi berbanding 100 juta pound sterling dan mungkin mencecah sehingga 200 juta pound sterling jika United serius mahu mendapatkannya. - INDEPENDENT.uk