KELAB Jerman, RB Leipzig sedia menjual pemainnya kepada Liverpool dengan syarat yuran perpindahan yang ditetapkan mereka dipenuhi. Naby Keita menjadi sasaran utama Jurgen Klopp selepas prestasi berkualiti pemain tengah itu dalam kempen Bundesliga sepanjang musim lalu dengan menjaringkan lapan gol dan mencipta tujuh gol walaupun hanya tampil dalam 29 perlawanan. Kualiti yang dimiliki Keita membantu Leipzig melayakkan diri ke Liga Juara-Juara pada musim depan selepas menamatkan saingan di tempat kedua di belakang juara, Bayern Munich. Kini pemain berusia 22 tahun itu menjadi buruan Klopp tetapi Leipzig meletakkan harga sebanyak 70.4 juta pound sterling jika Liverpool serius mahu mendapatkannya. Sekiranya direalisasikan, Keita menjadi pemain termahal Liverpool selepas Klopp memecahkan rekod perpindahan Andy Carroll yang bernilai 35 juta pound sterling apabila membawa masuk pemain Mesir, Mohammad Salah dengan harga 39 juta pound sterling. Harga 70.4 juta pound sterling itu mungkin menyebabkan Liverpool terpaksa melupakan Keita tetapi kelab Inggeris itu dilapor mahu meneruskan rundingan bagi mengurangkan nilai tersebut. - METRO.uk