MANCHESTER United akhirnya dilapor bersetuju dengan yuran perpindahan dan syarat yang ditetapkan Chelsea bagi membawa masuk pemain tengah kelab London itu ke Old Trafford. Red Devils setakat ini hanya membeli pemain pertahanan dari Benfica, Victor Lindelof untuk menguatkan bahagian pertahanan walaupun bos kelab itu, Jose Mourinho dijangka membawa lebih ramai pemain bagi menghadapi musim baharu. Kini tumpuan mula beralih ke arah perpindahan Nemanja Matic yang mahu bergabung kembali dengan bos lamanya di Chelsea, apatah lagi The Blues sudah menemukan pengganti yang sesuai iaiatu Tiemoue Bakayoko. United dan Chelsea mencapai persetujuan perpindahan itu dan pemain Serbia terbabit ditawarkan gaji sebanyak 150,000 pound seminggu dengan harapan menggantikan tempat Michael Carrick yang semakin dimamah usia. Sekiranya perpindahan itu direalisasikan, Tottenham Hotspur menjadi pihak paling gembira apabila pemain kesayangan mereka, Eric Dier terselamat menjadi buruan Mourinho yang sebelum ini berminat mendapatkan khidmat pemain tengah England itu. - METRO.uk