ATLETICO Madrid adalah satu-satunya kelab yang berminat untuk mendapatkan Diego Costa walaupun dia tidak dapat bermain sehingga Januari 2018. Kelab itu dilaporkan tetap meneruskan usaha untuk memeterai perjanjian £40 juta untuk menandatangani pemain tersebut. Atletico tidak boleh mendaftarkan pemain baharu sehingga 2018 disebabkan larangan pemindahan dikenakan oleh Fifa ke atas mereka kerana melanggar peraturan mengenai pembelian pemain antarabangsa di bawah usia 16 tahun. Mereka kekal sebagai satu-satunya kelab yang berminat untuk menandatangani Costa, yang diberitahu oleh Antonio Conte melalui mesej teks bahawa dia tidak merancang untuk meletakkan Costa dalam skuad Chelsea untuk musim depan. Berbanding menghantarnya sebagai pemain pinjaman sehingga dia layak bermain, jurulatih Diego Simeone lebih berminat untuk menandatangani Costa dan melatihnya dengan skuad selama enam bulan. Pada Januari, pemain antarabangsa Sepanyol itu terlepas tawaran bernilai £76 juta dari Tianjin Quanjian, yang menawarkan gaji tiga kali ganda daripada apa yang diperolehinya sekarang. Walau bagaimanapun, minat dari Liga Super China itu telah menurun kerana cukai baharu 100 peratus yang dikenakan ke atas pemindahan dari luar negara oleh Persatuan Bola Sepak Cina. 'Drama' ini membuatkan Conte kecewa dengan Costa. Chelsea berminat untuk memindahkan Costa, 28, apabila mereka menyasarkan Romelu Lukaku dari Everton sebagai pengganti. The Blues telah mendapat lebih dari £120 juta dalam jualan pemain pada tahun 2017. Costa menghabiskan masa selama empat tahun di Atletico sebelum beralih ke Chelsea pada 2014. Dia memenangi La Liga dan Copa del Rey bersama kelab itu dan mara ke final Liga Juara-Juara pada 2014.