PETALING JAYA: Nampaknya tiada jodoh antara pemain import dari Perancis, Seydi L 'Imam bersama Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) selepas rayuan kali kedua pasukan itu ditolak Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP). Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP Kevin Ramalingam berkata, rayuan kali kedua itu terpaksa ditolak kerana Kafa masih gagal memenuhi kriteria yang diperlukan dalam proses pendaftaran Liga Malaysia 2017. "Status rayuan pertama dan kedua tak ada apa-apa perubahan. Perpindahan Seydi tetap tidak dibenarkan kerana Kelantan masih gagal memenuhi semua syarat ditetapkan bagi membolehkan pendaftaran tersebut dilakukan," katanya ketika dihubungi mStar Oline pada Khamis. Justeru, Kevin berkata FMLLP tidak boleh mempertimbangkan sebarang rayuan yang akan dikemukakan Kafa selepas ini. "Kita tak boleh pertimbangkan sebarang rayuan lagi. Keputusan sudah dibuat mengikut sekatan yang dikenakan FMLLP sebelum ini," katanya. Mengenai isu FMLLP mendiam diri mengenai status Seydi, Kevin berkata mereka sebenarnya sudah memaklumkan mengenai keputusan rayuan kedua kepada Kafa sebelum surat rasmi mengenainya dihantar. "Kita memang ada berhubung dengan Kafa dan kita sudah maklumkan (status rayuan) sebelum surat rasmi dihantar. "Malah kita juga ada beritahu surat rasmi akan dihantar sedikit lewat kerana berlaku kelewatan untuk mendapatkan kelulusan tandatangan," katanya. Sementara itu, diminta mengulas mengenai dakwaan penasihat Kafa, Tan Sri Annuar Musa kononnya FMLLP menganiaya skuad The Red Warriors (TRW), Kevin bagaimanapun menafikan perkara tersebut. "Kita tak ada hajat nak aniaya siapa-siapa. Apa yang kita buat terhadap Kelantan dilakukan mengikut keputusan yang sama dengan pasukan lain. "Tidak timbul isu layanan berat sebelah. FMLLP melayan Kelantan sama seperti pasukan lain. Isu aniaya tidak pernah wujud," katanya. Tegas Kevin, Kafa sepatutnya berusaha menyelesaikan beberapa isu yang tertunggak dan berhenti menuding jari kepada FMLLP berhubung kegagalan mereka mendapatkan khidmat Seydi. "Mereka sepatutnya lengkapkan proses pendaftaran liga tetapi nampaknya isu lain yang cuba ditimbulkan. Isu ini tidak akan selesai jika mereka masih gagal melengkapkan perkara yang dituntut FMLLP. Saya harap mereka patuhi peraturan yang sudah ditetapkan," katanya. Annuar pada Khamis meminta FMLLP agar mempertimbangkan semula rayuan Kafa terhadap Seydi dan jangan menganiaya pasukan tersebut yang berusaha membantu menghidupkan Liga Malaysia. "Kenapa mesti pasukan Kelantan dilayan buruk oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan FMLLP. Kelantan dan penggiat bola sepak negeri itu telah menyumbang kepada individu dan FAM. "Yang kita perlukan ialah keadilan dan keputusan yang tertib, jelas dan saksama... tidak lebih dari itu," kata Annuar.