PETALING JAYA: Pasukan Pulau Pinang tetap dengan pendirian untuk tidak melepaskan tiga pemain mudanya bagi menyertai latihan pusat skuad Bawah 22 tahun (B-22) negara menjelang aksi persahabatan menentang B-22 Myanmar di Stadium Shah Alam, Khamis depan. Pengurusnya, L Katherisan berkata buat masa ini skuad Harimau Kumbang itu amat memerlukan khidmat Syamer Kutty Abba, S Kumaahran dan Jafri Firdaus Chew yang dipanggil untuk memperkuat skuad B-22 negara. "Setakat ini, kami memang keberatan untuk melepaskan ketiga-tiga pemain itu. Jadi kami enggan melepaskan mereka kerana khidmat mereka amat diperlukan apatah lagi pasukan kini bergelut dengan zon penyingkiran," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis. ARTIKEL BERKAITAN: Pahang Enggan Lepas Pemain Sertai B-22 Jelas Katherisan, halangan tersebut juga disebabkan pasukan itu mengharungi jadual yang agak padat selain beberapa pemainnya dibelenggu masalah kecederaan dan penggantungan perlawanan. "Ya kita ada beberapa halangan. Ada beberapa pemain bergelut dengan kecederaan dan digantung perlawanan. Jadi amat sukar untuk kami lepaskan ketiga-tiga pemain itu," katanya. Beliau berkata, pasukan itu telah menghantar surat kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mendapat pengecualian kepada tiga pemain tersebut daripada menyertai skuad B-22. "Kami sudah hantar surat kepada FAM minggu lepas. Buat masa ini belum ada jawapan. Jadi kami harap mereka faham keadaan yang tidak mengizinkan kami untuk melepaskan ketiga-tiga pemain ini," katanya. Bagaimanapun Katherisan berkata, pasukan itu bersedia mempertimbangkan untuk melepaskan tiga pemain tersebut jika badan pengelola Liga Malaysia (Liga-M) Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) boleh menyusun semula jadual membabitkan pasukan itu. "Sekarang kita layak beraksi pada Piala Malaysia dan pada masa sama kita ada perlawanan pada bulan Ogos, September dan Oktober. Bulan November tiada perlawanan, jadi kami minta FMLLP supaya tunda satu atau dua perlawanan ke bulan tersebut. "Jika jadual itu boleh disusun semula, kami sedia melepaskan tiga pemain itu. Namun buat masa ini, kami tidak akan melepaskan mereka," katanya. Pada Rabu, hanya enam pemain melaporkan diri ke latihan pusat B-22 di Hotel Glenmarie, Shah Alam, Rabu. Ia menjadi petanda kurang baik kepada pengendalinya Datuk Ong Kim Swee sebelum berangkat ke Bangkok bagi mengharungi kempen kelayakan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 minggu depan. Enam pemain terbabit adalah Adam Nor Azlin dan Muhammad Syahmi Safari (Selangor), Amierul Hakimi Awang (Terengganu), Ahmad Khairil Anuar Zamri (Perak), Irfan Zakaria (Kuala Lumpur) dan Danial Amier Norhisham (Felda United).