PETALING JAYA: Perlawanan persahabatan antarabangsa antara skuad bawah 22 tahun (B-22) negara menentang B-22 Myanmar di Stadium Shah Alam tetap akan diadakan pada 13 Julai ini. Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Khamis menafikan aksi persahabatan antara kedua-dua pasukan itu akan ditunda kepada 14 Julai. "Perlawanan akan dikekalkan pada Khamis depan (13 Julai), bukannya dipinda ke 14 Julai seperti dinyatakan dalam sidang media petang semalam (Rabu)," kata FAM dalam satu kenyataan. Pada Rabu, pengurus skuad B-22 negara, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata pihaknya mahu menunda perlawanan tersebut memandangkan hanya enam pemain sahaja melapor diri untuk latihan pusat skuad di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee di Hotel Glenmarie, Shah Alam pada Rabu. Kekurangan 20 pemain lagi memberi kesan kepada Kim Swee yang melakukan persiapan untuk mengharungi kelayakan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 bermula 19 hingga 23 Julai ini. Enam pemain terbabit adalah Adam Nor Azlin dan Muhammad Syahmi Safari (Selangor), Amierul Hakimi Awang (Terengganu), Ahmad Khairil Anuar Zamri (Perak), Irfan Zakaria (Kuala Lumpur) dan Danial Amier Norhisham (Felda United). Mohd Yusoff meramalkan pasukan tersebut akan lengkap dengan 26 pemain selewat-lewatnya pada 12 Julai ini. Senarai panggilan pemain Skuad B-22: Kedah: Ifwat Akmal Chek Kassim, Ariff Farhan Md Isa, Farhan Roslan, Syafiq Ahmad dan Amirul Hisyam Awang Kechik. Pulau Pinang: Syamer Kutty Abba, S Kumaahran dan Jafri Firdaus Chew. Selangor: Adam Nor Azlin dan Syahmi Safari. Pahang:Matthew Davies dan Nor Azam Abdul Azih. Johor Darul Ta'zim:Safawi Rasid dan Naziq Nadzli. Felcra FC: Adib Zainudin dan N Thanabalan. Felda United: Danial Amier Norhisham. Kuala Lumpur: Irfan Zakaria. Sarawak: Tommy Mawat Bada. Perak: Ahmad Khairil Anuar Zamri. JDT II: Syazwan Andik Ishak. PKNP FC: Syazwan Zaipol Bahari. Terengganu: Amierul Hakimi Awang. T-Team: Arif Fadzillah Abu Bakar. PJ Rangers: Raphi Azizan Mariappen. Kelantan: Danial Ashraf Abdullah.