PETALING JAYA: Penat bukan alasan buat Mohd Zaqhwan Zaidi untuk tidak memberikan aksi terbaik pusingan kelima Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas hujung minggu ini. Zaqhwan bakal bersaing dalam kategori dalam saingan CP150 setelah di Maeps, Serdang selepas musim cuti sebelum ini.Pelumba utama Givi Honda Yuzy Racing itu berada di Jepun sejak beberapa minggu lepas bagi menjalani sesi latihan dan ujian rasmi perlumbaan berprestij, Kejuaraan Endurance Dunia Suzuka 8 Hour di Litar Suzuka, Jepun. Dia hanya dijadualkan pulang ke Malaysia pada Jumaat sebelum turun memulakan saingan di litar Maeps pagi Sabtu. “Penat memang penat. Tidak ada masa yang cukup untuk saya berehat. Jadual di Suzuka agak padat dan kemudian terus pulang ke Malaysia. Sampai sahaja di Malaysia, terus berlumba di Maeps. “Tetapi itu bukan alasan untuk saya tidak memberikan aksi terbaik. Lawan tetap lawan. Cuma saya tidak sempat untuk menguji jentera sejak cuti rehat sepanjang puasa dan hari raya. Harapnya semua dalam keadaan baik minggu ini," jelasnya. Selepas empat pusingan, Zaqhwan kini berada di tangga keempat keseluruhan dengan 33 mata, 18 mata di belakang pendahulu, Ahmad Afif Amran (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ) yang mengumpul 51 mata. Mengulas tentang saingan Kejuaraan Endurance Dunia Suzuka 8 Hour, Zaqhwan berkata, segalanya berjalan dengan baik. "Catatan masa juga lebih baik berbanding tahun lepas. Cuma saya masih belum berpuas hati kerana masih gagal mencapai sasaran masa yang saya sasarkan," tambah pelumba berusia 21 tahun ini.