PETALING JAYA: Belum pun reda mengenai isu pendaftaran pemain, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) terus dicalit kontroversi. Terbaharu, timbul isu mengenai Pengarah Teknikal The Red Warriors (TRW), Alfredo Gonzales yang mengendalikan pasukan itu dikatakan tidak mempunyai sijil kelayakan atau Lesen A. Gonzales dari Uruguay mengambil alih skuad Kelantan yang dibimbing Zahasmi Ismail sejak Jun lalu. Untuk mendapat kesahihan mengenai isu tersebut, mStar Online menghubungi Naib Presiden Kafa, Datuk Rosmadi Ismail. Bagaimana pun Rosmadi enggan mengulas lanjut mengenai isu terbaharu ini. "Saya belum tahu isu tersebut, selepas mesyuarat petang ini saya akan bagi kenyataan," jelasnya ringkas. Dalam pada itu, Ketua Unit Kejurulatihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Ismail Zakaria memberitahu jangan terlalu cepat menyebarkan berita yang belum pasti. "Mengenai isu Gonzales ini dan mengetahui status jurulatih itu, Kafa perlu mengisi satu borang (mengenai kelayakan jurulatih) dan menyerahkan kepada FAM. "Selepas itu FAM akan menghantar menghantarnya kepad AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia). Mungkin minggu depan kita akan tahu status sebenarnya. "Buat masa sekarang kita tidak boleh menuduhnya tidak mempunyai kelayakan atau apa kerana perlu ingat sijil kelayakan mereka mungkin berbeza dari segi bahasa mengikut negaranya (Uruguay). Kita perlu faham dahulu apa yang tercatat pada sijil itu," jelasnya ketika dihubungi. Dalam pada itu, Ismail memberitahu, isu-isu ini tidak akan timbul sekiranya mana-mana pasukan menyiasat terlebih dahulu latar belakang jurulatih luar negara. "Jika pasukan negeri menandatangani kontrak dahulu dan selepas itu timbul isu status kelayakan, ia akan memberi masalah kepada kedua-dua pihak," tambahnya.