PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) akur dengan keputusan yang dibuat David Usop untuk mengundur diri daripada mengendalikan skuad Bujang Senang. Ketua jurulatih Bujang Senang itu mengumukan ingin berehat sementara selepas keputusan tidak memuaskan hatinya. Menurut FAS, pihaknya ingin mengucapkan jutaan terima dan menghargai segala jasa David dalam menguruskan pasukan Sarawak sehingga beberapa kali kekal di dalam saingan Liga Super. "Dengan ini juga, FAS ingin mengumumkan jawatan jurulatih akan dipangku oleh pembantunya, Pengiran Bala bagi mengharungi baki saingan Liga Super 2017 dan Piala Malaysia 2017 sehingga tempoh yang akan diumumkan kemudian. "Pihak FAS juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada penyokong bolasepak Sarawak yang sentiasa bersama dengan pasukan tanpa mengira turun naiknya prestasi pasukan," jelas kenyataan FAS di laman rasmi Facebook pasukan Sarawak. Pada Rabu, David secara rasmi membuat keputusan mengundur diri bukan kerana desakan mana-mana pihak tetapi atas dasar profesional sebagai ketua jurulatih pasukan. "Ini tiada desakan daripada mana-mana pihak tapi sebagai ketua jurulatih profesional saya kena bertanggungjawab," katanya. Untuk rekod, Sarawak kini berada di tangga ke-10 dengan mengutip 14 mata daripada 15 perlawanan.