CHELSEA telah melengkapkan perjanjian untuk mendapatkan pemain tengah, Tiemoue Bakayoko dari Monaco, dilaporkan dengan nilai £40 juta. Pemain berusia 22 tahun itu, yang telah menandatangani kontrak selama lima tahun dijangka akan berganding bersama pemain antarabangsa Perancis, N'Golo Kante musim depan. Bakayoko adalah pemain ketiga yang menandatangani perjanjian dengan Chelsea pada musim panas, selepas penjaga gol Willy Caballero dan pemain pertahanan Antonio Rudiger. "Saya sangat gembira dapat berada di sini dan menyertai pasukan hebat ini," katanya kepada laman web rasmi kelab. "Saya membesar dengan melihat perkembangan Chelsea. Menandatangani perjanjian dengan kelab ini adalah perkara semulajadi untuk saya kerana ia adalah sebuah kelab kegemaran saya pada masa kecil. "Saya kini berharap dapat berkembang di bawah jurulatih dan di samping ramai rakan sepasukan yang hebat." Bakayoko tiba di Monaco dari Rennes pada 2014, membuat hampir 100 penampilan dan membantu mereka memenangi gelaran Ligue 1 musim lalu. Dia memainkan peranan penting dalam skuad Leonardo Jardim ke separuh akhir Liga Juara-Juara musim lepas, termasuk menjaringkan gol kemenangan untuk mengalahkan Manchester City di suku akhir. Kagum dengan persembahan hebatnya, pengurusnya di Perancis, Didier Deschamps memberi ganjaran kepadanya untuk beraksi dalam perlawanan antarabangsanya yang pertama melawan Sepanyol pada bulan Mac